Suntikan vaksin fasa pertama di Kelantan awal Mac

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kelantan masih mengekalkan premis makanan beroperasi sehingga jam 10 malam ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan di negeri itu.

Pada masa yang sama hanya dua orang sahaja dibenarkan di setiap meja di setiap restoran atau kedai makan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin berkata, Prosedur Operasi Standard (SOP) sedia ada hanya membenarkan premis makanan beroperasi sehingga jam 10 malam.

- Advertisement -

Katanya, penyelarasan SOP di peringkat pusat dengan negeri akan dibincangkan pada Mesyuarat Teknikal Jawatankuasa Keselamatan Negeri pada Ahad ini.

“Seboleh mungkin kita akan menyamakan dengan SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) di peringkat pusat dengan mengambil kira keselamatan rakyat serta ekonomi,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan sumbangan pukat kepada 33 nelayan di Kampung Pulau Kundor, Pengkalan Chepa hari ini. (Foto atas)

Dr Izani juga berkata, SOP berkaitan kenduri kahwin akan turut dibincangkan pada mesyuarat tersebut.

Menurutnya penganjuran majlis kenduri dan rentas negeri antara salah satu faktor berlaku penularan Covid-19 dalam kalangan komuniti.

“Orang ramai diingatkan untuk terus menjaga keselamatan diri bagi bersama-sama mengekang penularan Covid-19,” ujarnya.

Beliau juga berkata, Menteri Besar, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob dijangka menjadi individu pertama yang menerima suntikan vaksin Covid-19 di Kelantan.

Menurutnya suntikan vaksin fasa pertama terbabit dijangka bermula awal Mac ini.

“Bagaimanapun kita menunggu persetujuan daripada Menteri Besar dahulu. Suntikan fasa pertama di Kelantan akan dikhususkan untuk petugas barisan hadapan.

“Selain itu anggota-anggota Exco, wakil-wakil rakyat dan semua yang dikategorikan sebagai petugas barisan hadapan.

“Begitu juga dengan petugas media, kita akan pertimbang supaya mereka menerima suntikan dan kita akan bincangkan nanti,” katanya.

Manakala suntikan kali kedua pula akan dilakukan selepas tiga minggu menerima vaksin kali pertama.

Pemeriksaan kesihatan juga akan dilakukan terlebih dahulu sebelum individu berkenaan diberikan suntikan vaksin. – HARAKAHDAILY 19/2/2021

- Advertisement -