PAS dibina atas kekuatan jamaahnya

- Advertisement -

DUA wartawan menghubungi saya semalam untuk dapatkan ulasan. Pada awalnya saya keberatan mengulas kerana jelas isu yang diketengahkan sungguh ‘artificial’ dan tiada pun mencuit atau terkesan dalam parti.

Walau bagaimanapun kerana punya pengalaman sebagai Setiausaha Akhbar Tuan Guru Presiden satu ketika dahulu saya memahami dan bersimpati pula dengan adik-adik saya yang semata-mata menjalankan tugas mereka.

Mengikut mereka kononnya dalaman PAS sedang bergolak lantaran isu pertembungan dua fraksi. Satu mahu pertahan Tuan Guru Presiden satu lagi mahu menjatuhkannya. Ditokok tambahlah dengan rakaman yang bocor dan pelbagai lagi.

- Advertisement -

Saya beritahu PAS hari ini berada pada tahap pencapaiannya yang terbaik dalam sejarah. Ia sebahagian Kerajaan Persekutuan dengan 3 Menteri Pusat dan 5 Timbalan Menteri, ia MB di 3 buah negeri, Exco di Perak dan menyokong kerajaan di Perlis, Pahang dan Johor selain Melaka. Malah di Sabah pun ia sebahagian kerajaan buat pertama kali. Dan ia turut diwakili di bangku pembangkang di Pulau Pinang dan Selangor.

Pencapaian terbaik ini ketika Tuan Guru Abdul Hadi Awang Presidennya. Umno yang bermusuh lebih 6 dekad dengan PAS pun kini berdamai dan bermuafakat dengan PAS di tangan Tuan Guru. Dengan pencapaian ini apakah rasional jika ada untuk ahli PAS menukar terajunya? Tidak masuk akal kecuali ada anasir yang cemburu dan iri hati dengan pencapaian dan kekuatan PAS bawah kepimpinan Tuan Guru.

Saya akui musuh PAS memang begitu kerana dengan kekuatan ini mereka sudah hilang upaya untuk bernyawa kembali. Muhasabah dan tegur-menegur dalam jamaah sesuatu yang normal bila bocor di telinga mereka terus dicucuh sebagai sengketa dan perbalahan dalam PAS. Diguna sebagai bahan mengadu-domba dan mencetus ketegangan, tandus dan dangkal sungguh kemampuan akal mereka.

PAS hari ini cukup matang dan malah bersyukur dengan pencapaiannya dan yakin ia perlu terus istiqamah dan berkerja kuat lagi untuk menjangkau pencapaian yang lebih baik khasnya pada PRU ke-15 nanti.

Agenda PAS pada waktu ini adalah memperkukuh MN dan mempertahankan PN melangkah gagah ke hadapan membela agama, bangsa dan negara. Datanglah ribut fitnah dan serangan adu domba mana sekalipun, tembok besar yang telah ahli dan pimpinan PAS bina ini insyallah akan kekal berdiri kukuh bertahan sampai bila-bila.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 19/2/2021

- Advertisement -