Kebajikan keluarga arwah Adib diberi perhatian Pemuda PAS

- Advertisement -

SAYU tapi bangga! Itulah yang mampu saya ungkapkan ketika bertemu dan mendengar sendiri luahan hati ayah Allahyarham Adib, Encik Mohd Kassim Abd Hamid di rumahnya Kuala Kedah. Pertemuan penuh makna ini berlaku setelah kami bertemu dengan Menteri Dalam Negeri untuk menyatakan cadangan dan gesaan Pemuda PAS terhadap kes Allahyarham Adib.

Pelbagai perkara yang dikongsi oleh beliau khususnya berkenaan dengan laporan polis terhadap isu buku Tommy Thomas yang berkait dengan kes Adib dan pencen yang diperoleh keluarganya selepas pemergian Allahyarham Adib.

InsyaAllah, kami Pemuda PAS Malaysia bertekad untuk bertemu dengan YB Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk berbincang mengenai sumbangan khas daripada Kerajaan Malaysia sebagai lambang penghargaan ke atas kepahlawanan serta pengorbanan yang telah dilakukan oleh Allahyarham Adib ketika bertugas menjaga kesejahteraan masyarakat.

- Advertisement -

Pak Kassim juga memaklumkan kami bahawa adik Allahyarham Adib baru sahaja menamatkan pengajiannya dari UiTM. Oleh yang demikian, kami mengambil tanggungjawab untuk memastikan adik Allahyarham akan mendapat pekerjaan dalam kadar yang segera serta mampu untuk membantu keluarganya tanpa perlu berjauhan daripada mereka yang dikasihi. Ini hanyalah bantuan kecil yang dapat kami hulurkan sebagai penghargaan ke atas jasa Allahyarham.

Sebagai anak muda, kami kagum dengan Pak Kassim yang amat tenang dan tabah apabila berbicara mengenai proses keadilan buat arwah Adib. Kami bersetuju sepenuhnya supaya keadilan ke atas kes Allahyarham Adib mestilah diserahkan kepada mahkamah. Biarlah proses kehakiman berjalan dengan nilai ‘rule of law’ (kedaulatan undang-undang) yang sebenar dan bebas daripada mana-mana bentuk campurtangan.

Buat keluarga Allahyarham Adib, yakinlah bahawa kebenaran akan tetap tiba dan kemenangan untuk orang yang sabar. Allah S.W.T berfirman di dalam Surah Al-Baqarah ayat 153 yang maksudnya; 

“Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar.”

YB SENATOR IR. TS. HJ. KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
Ketua Pemuda Perikatan Nasional – HARAKAHDAILY 19/2/2021 

- Advertisement -