DidikTV bantu guru tingkat kualiti pengajaran

- Advertisement -

KANGAR: Kemunculan DidikTV menggambarkan televisyen bukan menyediakan hiburan semata-mata, sebaliknya boleh dimanfaatkan untuk tujuan pendidikan.

Seorang guru, Mohd Azreen Jumri berkata, DidikTV merupakan inisiatif terbaik kerajaan bagi memastikan pelajar mendapat maklumat daripada pelbagai sumber termasuk televisyen.

Katanya, melalui inisiatif itu, ia dapat mengawal dan mengubah minda anak-anak yang sebelum ini menjadikan televisyen sebagai saluran hiburan sahaja.

- Advertisement -

“Selain itu ia dapat meringankan beban ibu bapa yang terpaksa menghabiskan wang untuk membeli data internet untuk tujuan pembelajaran di rumah,” katanya ketika ditemui di sini.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memperkenalkan saluran khusus TV Pendidikan yang dikenali sebagai DidikTV KPM mulai 17 Februari lepas.

Saluran ini bersiaran dari jam 7 pagi hingga 12 tengah malam setiap hari termasuk di Tutor TV ASTRO, saluran 147.

Bagaimanapun Azreen berkata, guru-guru masih perlu mengajar dalam talian seperti jadual yang ditetapkan dan mengikut perancangan pengajaran harian.

“Dari satu sudut, DidikTV akan menambahkan pengetahuan guru-guru sedia ada dalam menyampaikan ilmu.

“Selain itu ia satu inisiatif tambahan terutama bagi golongan yang kurang berkemampuan,” ujarnya.

Justeru itu, beliau berharap ibu bapa menyelia anak-anak supaya dapat mengikuti pembelajaran di rumah melalui saluran televisyen yang disediakan kerajaan. – HARAKAHDAILY 19/2/2021

- Advertisement -