Lulus tapak kuil di sebalik bantahan penduduk

- Advertisement -

SUNGAI PETANI: Tohmahan kononnya Kerajaan Perikatan Nasional (PN) Kedah rasis terhadap non Muslim ternyata tersasar jauh.

Malah Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor sentiasa menghulur bantuan kepada golongan yang memerlukan termasuk kaum India, Cina dan Siam.

Ia bertepatan dengan motto ‘Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua’.

Malah, baru-baru ini enam keluarga kaum India menerima bantuan kewangan berikutan kediaman mereka musnah dijilat api pada kejadian kebakaran di Kampung Baru, Sungai Gelugor.

- Advertisement -

Bantuan itu disampaikan Pegawai Khas Menteri Besar (Hal-Ehwal Masyarakat India), K Kumaresan sebagai mewakili Sanusi.

K Kumaresan berkata, pada kejadian itu enam rumah musnah, namun tiada kemalangan jiwa berlaku.

“Kami juga berusaha memastikan mangsa-mangsa kebakaran itu mendapat tempat tinggal sementara,” katanya yang juga Pengerusi Dewan Himpunan Pendokong PAS (DHPP) Kedah.

Menurutnya juga biarpun isu cuti peristiwa sempena Thaipusam dan roboh kuil cuba dibesar-besarkan pihak tertentu, namun orang ramai memahami kedudukan sebenar.

Kata beliau tindakan kerajaan misalnya terhadap kuil Hindu mengikut undang-undang kerana ia dibangunkan tidak mengikut peraturan.

“Dalam masa yang sama kerajaan negeri meluluskan tapak kuil di Taman Ladang Henrieta, walau pun mendapat tentangan dari sebahagian penduduk taman perumahan berkenaan,” ujarnya.

Malah katanya sempena perayaan Deepavali baru-baru ini sebanyak RM100,000 diagih sebagai sumbangan kepada kaum India. – HARAKAHDAILY 19/2/2021

- Advertisement -