Sugarbook: Muslimat PAS Kedah buat laporan polis

- Advertisement -

ALOR SETAR: Dewan Muslimat PAS Negeri Kedah mendesak agar pihak berkuasa khususnya Polis Diraja Malaysia menyiasat kegiatan tidak bermoral melalui aplikasi Sugarbook yang agak berleluasa sekarang ini.

Ketuanya, Dato’ Ustazah Siti Ashah Ghazali berkata lebih malang lagi sasaran aplikasi berkenaan adalah dari kalangan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT).

- Advertisement -

“Ini bukan kes kecil. Semua pihak perlu memainkan peranan mencegah kemungkaran. Kita tidak mahu kerana wang maruah diri digadaikan,” katanya sewaktu hadir bersama membuat laporan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Kota Setar, hari ini.

Hadir sama termasuk timbalan ketua, Ustazah Mekiah Shamsudin dan beberapa jawatankuasa harian Dewan Muslimat PAS negeri.

Beliau juga menggesa Dewan Muslimat PAS kawasan seluruh negeri agar segera membuat laporan di balai polis berdekatan agar laman web dan aktiviti tidak bermoral itu disiasat seterusnya dibanteras.

Sementara beberapa Dewan Muslimat PAS kawasan, antaranya Padang Terap, Sungai Petani dan Padang Serai telah membuat laporan di balai polis berhampiran, hari ini.

Sugarbook merupakan aplikasi ala pelacuran yang menemukan sugar daddy dan sugar baby dan difahamkan hampir 14,000 dari kalangan pelajar universiti di Malaysia. – HARAKAHDAILY 15/2/2021

- Advertisement -