Rohingya tidak dihantar pulang ke Myanmar

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menjelaskan bahawa tiada pemegang kad UNHCR atau etnik Rohingya yang terlibat di dalam program penghantaran pulang warganegara Myanmar.

Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Dato’ Indera Khairul Dzaimee Daud berkata, sebaliknya ia hanyalah sebahagian daripada proses biasa pengusiran warga asing di dalam depot Imigresen.

Beliau menyatakan sebagai merujuk kepada laporan-laporan di media massa dan portal berita atas talian mengenai program penghantaran pulang warganegara Myanmar menggunakan kapal tentera laut negara tersebut yang akan dilaksanakan pada 23 Februari ini.

- Advertisement -

Menurutnya, warganegara Myanmar yang terlibat dalam program itu terdiri daripada mereka yang ditahan di depot-depot Imigresen kerana melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963 seperti Seksyen 6(1)(c) iaitu tiada dokumen pengenalan diri, Seksyen 15(1)(c) (tinggal lebih masa) dan Seksyen 39(b) (Peraturan Imigresen – salah guna pas lawatan).

Katanya, dalam tempoh pandemik Covid-19 ini, sejak Januari 2020 sehingga 31 Disember 2020 JIM telah mengusir sejumlah 37,038 warga asing yang terdiri daripada warganegara Indonesia seramai 17,002 orang, Bangladesh (5,450), Myanmar (3,322), Thailand (2,358), Pakistan (1,493) dan lain-lain warganegara.

“Manakala bagi tahun 2019 pula sejumlah 59,114 warga asing dari pelbagai warganegara telah diusir pulang ke negara asal,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, perbezaan yang agak besar dalam jumlah warga asing yang diusir pulang antara tahun 2020 sebanyak 37,038 dan tahun 2019 sebanyak 59,114 adalah disebabkan oleh pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia.

Katanya, kebanyakan negara menutup pintu sempadan masing-masing di samping turut mengurangkan jumlah penerbangan dan pengangkutan laut.

Perkara itu, jelasnya telah memberikan kesan kepada proses pengusiran warga asing dari depot Imigresen ke negara-negara asal tahanan berkenaan.

“Dalam perkara ini, JIM merakamkan ucapan terima kasih kepada kedutaan Myanmar di Kuala Lumpur yang memberikan kerjasama dan mengatur penghantaran pulang warganegara mereka dalam jumlah yang ramai ini,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 15/2/2021

- Advertisement -