Tiga fasa suntikan vaksin Covid-19 di Pahang

- Advertisement -

KUANTAN: Suntikan vaksin Covid-19 di negeri Pahang dijangka bermula akhir Februari ini bagi fasa 1 yang melibatkan barisan hadapan lebih 28,000 orang.

Menteri Besar, Dato’ Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, mereka yang terlibat ialah dalam kalangan kakitangan/anggota Jabatan Kesihatan Negeri (JKN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Selain itu anggota Angkatan Pertahanan Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) serta Task Force Covid-19 Negeri. 

- Advertisement -

Bagi fasa 2 katanya, melibatkan lebih 360,000 orang dalam kalangan mereka berisiko tinggi seperti warga emas 60 tahun dan ke atas dan golongan berpenyakit kronik atau comorbid, di mana suntikan vaksin akan bermula April hadapan.

“Di bawah fasa 3 melibatkan lebih 700,000 individu 18 tahun dan ke atas pula, suntikan vaksin bagi mereka akan bermula Mei ini hingga Februari 2022.

“Perkara itu dilulus pada mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada Rabu lepas bagi menetapkan, program suntikan vaksin Covid-19 untuk negeri Pahang,” katanya pada kenyataan di sini semalam.

Oleh itu, kata beliau menjangka kira-kira 1.12 juta rakyat Pahang atau sasaran 70 peratus daripada keseluruhan 1.67 juta penduduk negeri tersebut bakal divaksinasikan sebagai usaha membendung penularan wabak pandemik Covid-19.

Menurutnya juga sebanyak 69 pusat suntikan sedang dikaji kesesuaiannya di seluruh negeri, antara lain melibatkan hospital, klinik kesihatan, dewan dan bangunan jabatan/agensi berkenaan.

Manakala jumlah pemberi suntikan atau vaksinator ialah 578 orang.

“Sukacita saya sarankan kepada semua pihak agar dapat memberi kerjasama sepenuhnya dengan mendapatkan vaksinasi Covid-19 menurut tatacara yang ditetapkan, demi memastikan program vaksinasi di negeri ini dapat berjalan lancar dan berkesan, InsyaAllah,” ujarnya.   

Sementara itu dalam perkembangan lain Menteri Besar merakam ucapan Selamat Menyambut Tahun Baru Cina  kepada masyarakat Tionghua di seluruh negara, terutamanya rakyat Pahang Darul Makmur.

Kata beliau, sungguhpun kita masih diancam penularan wabak Covid-19, kemeriahan tetap dapat dirasai walaupun tiada majlis besar-berasan diadakan.

“Dalam kegembiraan kita menyambut perayaan ini, jangan kita lupa untuk sentiasa menjaga kesihatan dan keselamatan diri.

“Pastikan untuk sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan dan mengambil langkah-langkah proaktif bagi mengekang penularan wabak ini dalam kalangan ahli keluarga, sahabat handai dan masyarakat,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 12/2/2021

- Advertisement -