Tafsir Syeikh Said Hawwa, dari penjara ke pangkuan umat

- Advertisement -

BAGI ahli gerakan Islam, nama Syeikh Said Hawwa (1935-1989) amat terkenal sebagai ‘guru besar’ tarbiyyah Ikhwan Muslimin. Warisan ilmunya dimanfaatkan hingga kini, dengan kitab-kitab yang pelbagai.

Siri-siri pencerahan yang diberi judul al-Asas, mencakupi bidang ilmu Tafsir, Hadis, Aqidah, Sirah dan Fiqh. Usaha tersebut dibuat demi menyediakan landasan ilmu yang menyeluruh, khususnya buat kader gerakan Islam.

- Advertisement -

Produk ilmu di penjara

Syeikh Said Hawwa menjadi muka hadapan Ikhwan Muslimin Syria sejak usia mudanya. Ketika dipenjarakan selama 5 tahun dari 1973-1978 oleh rejim Hafiz al-Asad, beliau menyifatkan ujian tersebut sebagai peluang yang Allah kurniakan untuk beliau banyak menulis.

Sebahagian besar kitab karangan Syeikh Said Hawwa ditulis ketika beliau berada di penjara, termasuklah kitab tafsirnya yang besar, berjudul al-Asas Fi al-Tafsir. Karya setebal 11 jilid itu akhirnya berhasil dicetak pada tahun 1985, setelah melalui pelbagai halangan untuk diterbitkan.

Dalam memoirnya yang bertajuk Hazihi Tajribati, Syeikh Said Hawwa menceritakan inisiatif Syeikh Abdul Rahman Hasan Habannakah al-Maidani yang menuntut Kerajaan Hafiz Asad agar membebaskan beliau keluar dari penjara. Tuntutan tersebut dibuat sebagai mengambil kesempatan terhadap situasi Hafiz Asad, yang sedang cuba mengambil hati agamawan di Syria bersempena dengan tahun pemilihan Presiden.

Hasil usaha Syeikh Abdul Rahman Hasan Habannakah itu, Syeikh Said Hawwa dibebaskan. Sejarah tersebut sekali gus menggambarkan hubungan akrab beliau dengan Syeikh Abdul Rahman Habannakah, yang turut memiliki kitab tafsirnya sendiri berjudul Ma’arij al-Tafakkur Wa Daqaiq al-Tadabbur.

Al-Asas Fi al-Tafsir.

Syeikh Said Hawwa menjelaskan latar belakang senario umat yang menuntut beliau untuk menulis kitab tafsir yang lebih dekat dengan situasi semasa. Beliau melihat umat dilanda dengan pelbagai pencemaran pemikiran.

Untuk berdepan dengan gejala skeptisisme masyarakat Islam yang telah terpengaruh dengan doktrin-doktrin Barat, Syeikh Said Hawwa menegaskan betapa perlu memahamkan umat kembali kepada panduan al-Quran. Dalam erti kata yang lain, umat memerlukan tafsir yang moden, yang boleh mencerahkan minda mereka.

Pada masa yang sama, Syeikh Said Hawwa melihat terdapat banyak salah faham terhadap kalimah-kalimah dan maksud ayat-ayat al-Quran yang berlegar dalam kalangan masyarakat Islam. Salah faham itu berpunca dari mengambil ayat al-Quran secara literal dan ada pula yang berpunca akibat interpretasi menyeleweng.

Usaha memahami al-Quran secara lengkap

Di dalam muqaddimah tafsirnya Syeikh Said Hawwa menjelaskan bahawa pada fasa awal penulisannya, beliau berdepan dengan kekangan mendapatkan kitab rujukan yang banyak kerana ketika itu beliau sedang dipenjarakan. Namun begitu, tafsirnya tidak akan lari dari landasan tafsir generasi Salaf yang menjadi panduan umat.

Penafsiran berdasarkan Hadis-hadis dan Athar, dirujuk melalui Tafsir Ibnu Kathir yang cukup terkenal. Begitu juga maksud-maksud kalimah, diambil dari Tafsir Nasafi

Gabungan dua kitab rujukan yang Muktabar itu melengkapkan kefahaman Tafsir Bi al-Ma’thur dan Tafsir Bi al-Ra’yidalam tafsir Syeikh Said Hawwa. Malah ada bahagian-bahagian tertentu, Syeikh Said Hawwa turut memuatkan dapatan-dapatan saintifik yang ternyata membenarkan ayat-ayat al-Quran.

Menggabungkan antara aspek kerohanian dan haraki

Ketika kami berkunjung menziarahi anak Syeikh Said Hawwa, iaitu Syeikh Muaz di Jordan, beliau menceritakan bahawa ayahnya menerima cadangan dari Syeikh Abdul Majid Zindani untuk menekankan aspek kerohanian dalam tulisan-tulisannya. Lalu beliau memilih istilah tazkiyyah nafs yang bermaksud penyucian jiwa. Istilah tersebut diambil dari ayat-ayat al-Quran.

Untuk keperluan tersebut, maka tidak hairanlah jika kita mendapati tafsir Syeikh Said Hawwa kerap memetik huraian-huraian dari Tafsir Ruh al-Ma’ani karangan Imam al-Alusi. Kitab tafsir tersebut amat terkenal dengan huraian-huraian yang berbentuk kerohanian.

Pada masa yang sama, Syeikh Said Hawwa menggabungkan pembawaan tersebut dengan huraian beraspirasikan gerakan Islam moden yang diambil dari kitab Fi Zilal al-Quran oleh Said Qutb. Tidak keterlaluan jika disebutkan, petikan kalam Imam al-Alusi & Said Qutb mencorak sebahagian besar penjelasan tafsir Syeikh Said Hawwa.

Ayat al-Quran saling bersahutan

Selain dari keistimewaan-keistimewaan yang telah dijelaskan di atas, Syeikh Said Hawwa cukup menekankan konsep menghubungkan maksud ayat al-Quran dengan ayat al-Quran yang lain. Ya, ayat-ayat al-Quran saling bersahutan dan saling menjelaskan antara satu sama lain.

Pendekatan inilah yang menjadi keistimewaan utama tafsir Syeikh Said Hawwa. Beliau menceritakan bahawa sejak di usia kecil, beliau sering berfikir akan hubungan ayat ke ayat dan surah ke surah. Kajian seperti itu sangat membantu seseorang untuk memahami al-Quran dengan kerangka yang menyeluruh.

Maka disebabkan itu sebelum menafsirkan sesebuah ayat secara berfokus, Syeikh Said Hawwa akan membawa kita untuk terlebih dahulu menekuni kaitan-kaitan ayat yang sedang ditelaah dengan ayat-ayat lain. Pendekatan itu menuntut kesungguhan kita untuk tekun membaca, menyelak dan membelek penjelasan ayat-ayat lain yang berkaitan.

Maka tafsir Said Hawwa bukanlah kitab yang kita akan dapat intipatinya secara ‘on the spot’ atau ‘direct to the point’. Sudah pasti komitmen tersebut akan membuahkan kenikmatan yang luar biasa jika kita memperolehi kefahaman yang luas darinya.

Tafsir yang ‘best’

Dalam memoirnya, Syeikh Said Hawwa melampirkan surat balas pihak penerbitan ketika ingin mencetak al-Asas Fi al-Tafsir. Mereka menyifatkan bahawa jika Fi Zilal al-Quran Said Qutb itu adalah kitab huraian al-Quran yang unggul di kurun ke 14 Hijrah, maka al-Asas Fi al-Tafsir Syeikh Said Hawwa layak dinobatkan sebagai kitab tafsir yang unggul di kurun ke 15 Hijrah.

Maka inilah manhaj tafsir Syeikh Said Hawwa yang perlu dinikmati oleh anak-anak gerakan Islam, untuk diturunkan kepada lapangan umat. Setiap tokoh tafsir ada manhaj mereka yang tersendiri. 

Alangkah beruntungnya jika kita menumpang ilmu mereka, agar kita dapat mentadabbur ayat-ayat al-Quran dengan jalan yang sepatutnya. Semoga Allah merahmati Syeikh Said Hawwa. Amin.

USTAZ ABDUL MU’IZZ MUHAMMAD – HARAKAHDAILY 8/2/2021

- Advertisement -