JPS betulkan salah lapor mengenai RTB Sungai Bunus

- Advertisement -

JABATAN Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS) ingin membetulkan kenyataan laporan khas Astro Awani pada 6 Februari 2021 jam 7:45 malam berhubung projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Bunus yang dilaporkan gagal berfungsi dan tidak diselenggara dengan baik.

Kawasan yang dirakam oleh Astro Awani hanya merujuk kepada tapak projek Kolam Takungan Banjir Bawah Tanah PULAPOL yang masih belum siap sepenuhnya dan bukannya keseluruhan projek RTB Sungai Bunus. Projek Kolam Takungan Banjir Bawah Tanah PULAPOL masih sedang dalam pembinaan dan keadaan seperti tidak diselenggara adalah kerana kontraktor asal telah ditamatkan kerja atas sebab-sebab ketidakpatuhan kepada syarat kontrak.

- Advertisement -

Proses lantikan kontraktor baharu untuk menyiapkan projek yang masih berbaki 34 peratus akan dimuktamadkan selewat-lewatnya pada Jun 2021. Projek ini dijangka akan siap pada Jun 2022. Projek RTB Sungai Bunus terdiri daripada tujuh (7) pakej utama seperti berikut:

Keseluruhan Projek RTB Sungai Bunus direkabentuk untuk menampung sehingga 750,000m3 air banjir bagi mengurangkan impak kejadian banjir di sekitar kawasan Jalan Tun Razak di hadapan:

(i) Institut Jantung Negara;
(ii) Perpustakaan Negara;
(iii) Jalan Gurney;
(iv) Jalan Sultan Yahya Petra; dan
(v) Kampung Baru.

Selain itu, projek ini juga berfungsi bagi mengawal sebahagian air banjir daripada memasuki pusat Bandaraya Kuala Lumpur.

Sehingga kini, 6 dari 7 Pakej RTB Sg Bunus telah pun siap. Tahap kefungsian adalah 85 peratus dan akan berfungsi 100 peratus apabila Pakej Kolam Takungan Banjir Bawah Tanah PULAPOL disiapkan kelak.

Sebanyak 38 kejadian curahan hujan lebat (purata taburan hujan melebihi 60mm/jam) direkodkan di Stesen Air Panas dalam tempoh 2015-2020 dan tiada sebarang kejadian banjir dilaporkan di Jalan Tun Razak Kuala Lumpur.

Sepanjang tahun 2020, JPS telah membelanjakan sebanyak RM8.1 juta bagi penyelenggaraan semua pakej RTB Sungai Bunus yang telah siap termasuk RM35,000.00 bagi kerja-kerja pembersihan di tapak Projek Kolam Takungan Banjir Bawah Tanah PULAPOL.

Sekian.

DATO’ IR. NOR HISHAM MOHD. GHAZALI
Ketua Pengarah JPS Malaysia
08 Februari 2021 – HARAKAHDAILY 8/2/2021

- Advertisement -