Model sifar rasuah ada di Kelantan

HEBOH diperkatakan isu rasuah di negara kita sejak dahulu sehingga sekarang. Ia nampaknya seperti sukar hendak selesai. Peliknya dalam banyak kes sebelum ini mereka yang terbabit dengan skandal itu rata-rata orang Melayu.

Sedangkan Islam menegah keras perilaku tersebut. Ibn al-Athir antara lain menyebut: al-Risywah adalah sesuatu yang menghubungkan kepada keperluan atau hajat dengan cara pujukan.

Al-Risywah merupakan sesuatu yang diberi untuk membatalkan kebenaran atau untuk menegakkan kebatilan. Dr Yusuf al-Qaradhawi menyebut rasuah dimaksudkan memakan harta orang lain dengan cara yang batil.

Maksudnya wang yang diberikan kepada penguasa atau pegawai, supaya penguasa atau pegawai tersebut menyebelahinya.

Advertisement

Berikutan itu pelbagai cadangan dan idea dicernakan bagi menangani isu tersebut. Sebuah akhbar sejak minggu lalu menjaja isu berkenaan.

Isu terbabit berada di kemuncak apabila Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Malaysia dikatakan turun dua mata tahun lepas.

Manakala dalam kedudukan di peringkat global, Malaysia disebut turun enam anak tangga, yakni berada di kedudukan ke-57. Indeks tersebut dikeluarkan Transparency International.

Apakah maksud semuanya itu. Ia secara jelas memperlihatkan kedudukan Malaysia berada di kelompok yang tidak baik dalam aspek rasuah. Sedangkan pada 2019 Malaysia berada di kedudukan 51 dengan skor 53 terbaik. 

Malah ada yang menyifatkan ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH), kerajaan ketika itu serius mahu menghapuskan rasuah dengan mendakwa pemimpin politik ke mahkamah.

Namun sekarang digambarkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) melantik ramai ahli politik menerajui syarikat berkaitan kerajaan sehingga boleh menjejaskan CPI.

Elemen itu disebut menyebabkan indeks persepsi rasuah di Malaysia jatuh. Namun laporan tersebut tidak pula menyebut tindakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak melantik pemimpin terbabit kes rasuah, banyak membantu menjernihkan indeks persepsi rasuah.

Sedangkan sebelum ini ada suara-suara mahu mereka disenarai dalam saf kabinet kerajaan PN. Malah ada pihak mencadangkan diwujud jawatan timbalan perdana menteri sebagai formula menyelesaikan kemelut antara Umno dan Bersatu.

Namun sehingga sekarang nampaknya perdana menteri memilih mempertahankan integriti. Biarpun pemimpin utama yang dicadang mengisi kerusi tersebut, belum disabit kesalahan di mahkamah, namun ia boleh memberi persepsi lain.

Setidak-tidaknya dapat mempertahankan mata CPI 2020 supaya tidak turun lagi. Bagaimanapun perdana menteri seperti terpaksa membayar dengan harga tinggi bagi mempertahankan wibawa kerajaan yang ada sekarang.

Ini kerana dalam masa sama, perdana menteri terpaksa berdepan dengan kemelut politik dalaman PN.

Mencari formula mujarab

Kadang-kadang kita lupa dalam usaha mencari resepi atau formula bagi menangani amalan rasuah, jarang kita meneropong apa yang berlaku di Pantai Timur.

Sehingga sekarang kerajaan Kelantan di bawah teraju PAS tidak pernah terpalit dengan kes rasuah atau salah guna kuasa.

Tempoh 30 tahun mempertahankan integriti bukan sesuatu perkara yang mudah. Kejayaan itu berpangkal kepada budaya kerja berteras Islam yang diterap di Kelantan sejak Oktober 1990.

Kerajaan Kelantan menyerap elemen agama dalam jentera pentadbiran kerajaan negeri. Bermula dari situ dicetus dasar Membangun Bersama Islam (MBI) sebagai tunggak utama pentadbiran kerajaan.

Dasar MBI menggariskan empat objektif utama iaitu memperbetulkan kefahaman yang menafikan dasar-dasar Islam dalam merealisasikan program pembangunan secara menyeluruh.

Melaksanakan dasar-dasar Islam ke arah merealisasikan ummah yang bertakwa, produktif, progresif dengan mengikut cara hidup Islam.

Menggubal dasar-dasar Islam dalam kerangka menggerakkan yang makruf dan mencegah elemen mungkar.

Dan melaksanakan dasar pembangunan negeri dengan menekankan keseimbangan antara kemajuan di dunia dan kebahagiaan di akhirat.

Manakala dasar MBI pula berpaksi kepada tiga teras utama iaitu ubudiah, mas’uliah dan itqan (UMI).

Ubudiah berkait dengan soal iman atau akidah. Ia mengajak penjawat awam melaksanakan aktiviti harian selaras dengan kehendak agama.

Mas’uliah pula menekankan kesungguhan memikul dan melaksanakan tanggungjawab yang diberi.

Dan Itqan menekankan amalan soleh atau akhlak yang menekankan ketekunan, kesungguhan dan komitmen melaksanakan tugas secara terbaik.

Peringatan itu ditekan Menteri Besar, Tok Guru Nik Abdul Aziz sehingga akhir hayatnya. Sekarang perjuangan itu disambung pula Ustaz Ahmad Yakob.

Berpaksi kepada prinsip dan amalan tersebut ternyata berjaya menyelamatkan Kelantan daripada ‘hantu’ rasuah sama ada membabitkan pimpinan negeri atau pegawai kanan kerajaan.

Kelantan ternyata berjaya mempertahankan sifar rasuah sejak sejak 1990 sehingga sekarang.

Timbalan Menteri Besar Kelantan Mohd Amar Abdullah turut mengakui kejayaan itu hasil dasar MBI yang diperkenalkan kerajaan.

Malah pegawai tadbir negeri juga digalakkan mendalami pengajian tasawur Islam bagi memperkayakan pengalaman untuk menzahirkan urus tadbir cemerlang.

Ketika ramai bercakap tentang rasuah dan integriti, mengapa jarang orang mengamati model yang sudah lama membuah hasil di Kelantan. – HARAKAHDAILY 8/2/2021