Ada ‘konflik kepentingan’ antara kerjaya dan politik?

- Advertisement -

ADAKAH pernah berlaku konflik kepentingan antara kerjaya dan kerja parti atau NGO saya? Jawapan saya tidak! Bagi saya kerjaya dan kerja parti atau NGO adalah sama. Ianya memerlukan fokus, dedikasi yang tinggi serta budaya kerja yang cemerlang dan profesional.

Ketegasan itu penting! Waktu kerja pejabat, saya fokus dengan kerja-kerja pejabat dan waktu tugasan parti atau NGO saya fokus dengan kerja-kerja parti atau NGO.

Sebolehnya, tugasan parti atau NGO saya lakukan di luar waktu ‘office hour’. Sekiranya tidak dapat dielak, maka saya akan mohon cuti. Rezekinya, syarikat saya boleh meluluskan cuti separuh hari. Alhamdulillah!

- Advertisement -

Kurang waktu rehat tidak mengapa. Yang penting, rezeki yang saya dapat adalah halal serta berkat dan saya boleh berikan fokus 100 peratus ketika melakukan kerja kerjaya dan parti atau NGO.

Kualiti kerja? Ya, semestinya perlu ‘outstanding’. Maka, KPI yang dirangka mestilah merangkumi elemen SMART (Specific, Measurable, Attainable, Relavant dan Time-bound). Kita wajib melakukan yang terbaik dalam setiap tugasan yang diberikan. Oleh itu, usaha-usaha untuk memperkasa kualiti kerja diri kita mestilah dilakukan secara berterusan daripada semasa ke semasa.

Di musim pandemik ini, pasti banyak syarikat yang akan mengecilkan saiz syarikat mereka dengan pelbagai alasan yang munasabah. Di antara cara ‘right-sizing’ dan ‘down-sizing’ yang diamalkan ialah mengekalkan mereka yang terbaik dan memberhentikan pekerja-pekerja yang kurang berkualiti. Jadi, sudah tentu ramai juga daripada kita yang akan terdesak untuk menjadi pekerja yang cemerlang kepada syarikat dan industri yang diceburi.

Berikut adalah 3 tips sukses kerjaya yang ingin saya kongsikan kepada rakan-rakan di luar sana untuk tingkatkan kualiti kerja di dalam kerjaya kita: 

(1) Jangan malu tak bertempat.

Janganlah sentiasa diam membisu semasa mesyuarat. Lontarkan idea anda dengan berkesan. Jika anda sentiasa malu atau segan, sukar untuk jadi ketua atau pemimpin, apalagi untuk naik pangkat.

Jika anda kurang faham, jangan takut untuk bertanya dan meminta bantuan. Bertanya dan meminta bantuan adalah bukti kekuatan diri, bukan tanda kelemahan. Semua orang perlukan bantuan orang lain untuk berjaya.

(2) Fikir positif untuk raih kejayaan ‘Fikirkan Boleh’.

Sebenarnya, tiada kuasa ajaib untuk menjadi orang yang berjaya. Apa yang anda fikir dalam minda adalah apa yang anda jangkakan. Apa yang anda jangkakan pula adalah apa yang bakal anda peroleh.

Alat utama untuk mencipta imej baru dan merealisasikannya ialah menerusi proses yang dikenali sebagai membentuk semula. Ia membabitkan perubahan cara anda yang selalunya lebih efektif untuk mempersembahkan pengalaman positif serta menghindarinya daripada pengalaman negatif dan kegagalan.

Cara ini boleh membawa anda maju dalam kehidupan dan melaksanakan banyak perkara yang mungkin tidak pernah anda lakukan. Sesungguhnya orang yang enggan mengubah minda adalah orang yang degil dan tidak bernyawa!

(3) Cakap positif atau talk positively.

Boleh disebut juga saranan diri positif. Ia adalah kata-kata kepada diri sendiri yang merangsang jiwa dan fikiran, sekali gus mendorong tindakan. Boleh gunakan petikan kata daripada ahli ilmu, petikan terjemahan al-Quran atau Hadis.

Kata-kata ini menjadi motto hidup. Bukan perniagaan sahaja ada motto bisnes, kita juga boleh menjadikan kata-kata sebagai motto peribadi seperti lagenda tinju Muhammad Ali yang menjadikan kata-kata ‘Akulah yang Terbaik – I’m the Greatest’ sebagai kata-kata semangat.

Kata-kata ini boleh selalu kita ucapkan atau boleh kita jadikan hiasan dinding yang boleh dilihat setiap hari. Jadikan kata-kata ini sebagai sebahagian dari hidup anda. Saran diri anda setiap hari dengan kata-kata ini hingga ia lazim dalam minda anda. Sekian, semoga bermanfaat.

YB SENATOR IR. TS. KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Ahli Dewan Negara
Ketua Pemuda PAS Malaysia
Ketua Pemuda Perikatan Nasional – HARAKAHDAILY 8/2/2021

- Advertisement -