Nabi Khidir dan nabi paling tua

- Advertisement -

Soalan:

Adakah betul berlaku khilaf tentang Nabi Khidir adakah beliau seorang nabi atau seorang wali? Benarkah ada berlaku khilaf tentang adakah Nabi Khidir masih hidup atau telah wafat? Nabi manakah yang umurnya paling lama?

Jawapan:

Nabikah Khidir atau wali?

Berlaku perselisihan di kalangan ulamak tentang Nabi Khidir adakah beliau seorang nabi atau seorang wali.

Satu pendapat mengatakan beliau adalah seorang nabi dan satu pendapat mengatakan beliau adalah seorang wali.

Imam Nawawi berkata bahawa pendapat yang kuat ialah beliau adalah seorang nabi.

Dan pendapat ulamak sufi beliau adalah seorang wali.

- Advertisement -

Kata Imam Nawawi:

قال جمهور العلماء: الخضر نبي لكن لم يرسل لأحد، فهناك فرق بين النبي وبين الرسول

Ertinya: “Telah berkata oleh jumhur ulamak Khidir ialah nabi akan tetapi tidak menjadi rasul bagi seorang jua pun. Maka di sana ada perbezaan antara nabi dengan rasul.” (Syarah Sahih Muslim)

Berkata Imam Abu Abdillah Al-Maziri:

إن الأكثرين من العلماء على أنه نبى

Ertinya: “Bahawasanya kebanyakan daripada ulamak berpendapat sungguhnya Khidir adalah seorang nabi.”

Adalah nama Nabi Khidir ialah menurut pendapat yang kuat ialah Balya bin Malkan daripada Bani Israel.

Khidir bermaksud menghijau atau hijau dan dinamakan begitu kerana tempat yang beliau duduk akan menjadi hijau.

Telah diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. dari Nabi SAW:

إنَّما سُمِّيَ الخَضِرَ أنَّهُ جَلَسَ علَى فَرْوَةٍ بَيْضَاءَ، فَإِذَا هي تَهْتَزُّ مِن خَلْفِهِ خَضْرَاءَ

Ertinya: “Sungguhnya dinamakan dengan Khidir bahawasanya apabila beliau dia duduk di atas tempat yang tiada tumbuh suatu maka tempat itu jadi berkocak kemudian tumbuh tumbuhan menghijau.” (Hadis riwayat Bukhari)

Adakah Nabi Khidir masih hidup?

Dan telah berlaku perselisihan pendapat dalam kalangan ulamak adakah Nabi Khidir masih hidup atau telah wafat.

Pendapat yang pertama mengatakan Nabi Khidir a.s. masih hidup.

Telah menyebut oleh Imam Nawawi:

إنه حى موجود بين أظهرنا الآن، وهذا الرأى متفق عليه عند الصوفية وأهل الصلاح والمعرفة

Ertinya: “Sungguhnya Nabi Khidir a.s. masih hidup sampai sekarang. Dan inilah pendapat yang disepakati atasnya oleh ulamak sufi dan orang-orang soleh dan ahli makrifat.”

Dan pendapat yang kedua mengatakan Nabi Khidir a.s. telah wafat.

Berkata Al-Munawi:

لا يثبت حديث فى بقائه

Ertinya: “Tidak sabit dalam hadis pada masih hidupnya (Khidir).”

Dan berkata Ibnu Al-‘Arabi:

مات قبل انقضاء المائة

Ertinya: “Telah wafat beliau sebelum usia seratus tahun.”

Kesimpulannya ada dua pendapat tentang masih hidupnya Nabi Khidir a.s. dan telah wafatnya. Dan kedua-dua pendapat ini ialah daripada pendapat ulamak ahlu sunnah wal jamaah. Oleh itu siapa yang berjalan atas pendapat beliau masih hidup maka ialah harus kerana ada sandarannya dan siapa yang berpendapat sudah wafat juga harus kerana ada sandarannya.

Dan soal masih hidup atau sudah wafat Nabi Khidir ini bukan termasuk perkara aqidah dan bukan dari pengetahuan yang wajib diketahui.

Berkata Syeikh Athiyyah Saqr:

ولم يرد نص صرح فى كونه مات أو ما زال حيا حتى يقتله الدجال، أو أن له لقاء آت مع بعض الأنبياء أو الأولياء، أو أنه يلقى السلام على بعض الناس فيردون عليه التحية. كل ذلك ليس له دليل يعتد به. وفى الوقت نفسه لا يترتب على الجهل به عقاب، ولا يؤثر على إيمان المؤمن، فهو ليس من العقائد التى كلفنا بها الدين

Ertinya: “Dan tidak datang nas menerangkan keadaan Nabi Khidir sudah wafat atau masih hidup sehingga membunuh ia akan Dajjal atau beliau ada bertemu dengan para nabi a.s. dan para wali atau beliau memberi salam atas sebahagian manusia lalu dibalas salamnya. Semua itu tidak ada baginya dalil yang dipegang dengannya dan tidak akan diazab siapa yang tidak mengetahui dengannya dan tidak mencederakan atas iman orang mukmin dan ia bukan dari aqidah-aqidah yang ditaklifkan atas kita.” (Fatwa Darul Ifta Mesir)

Nabi yang paling panjang usia

Menurut pendapat jumhur ulamak nabi yang mempunyai usia paling panjang ialah Nabi Nuh a.s.

Telah dirwayatkan daripada Sa’id bin Abdurrahman Al-Makhzumi berkata:

قَالَ سُفْيَانُ [وهو ابن عيينة]: يُقَالُ فِي هَذِهِ الآيَةِ: {ذُرِّيَّةَ مَنْ حَمَلْنا مَعَ نُوحٍ إِنَّهُ كَانَ عَبْدًا شَكُورًا}، قَالَ: كَانَ لا يَلْبَسُ ثَوْبًا إِلا حَمِدَ اللَّهَ ، وَلا يَصْنَعُ شَيْئًا إِلا حَمِدَ اللَّهَ. قَالَ: وَقَالَ جِبْرِيلُ لِنُوحٍ : يَا أَطْوَلَ الأَنْبِيَاءِ عُمُرًا ، وَأَفْضَلَهُمْ شُكْرًا ، كَيْفَ رَأَيْتَ الدُّنْيَا وَبَهْجَتَهَا ؟ قَالَ: كَدَارٍ لَهَا بَابَانِ أُدْخِلْتُ مِنَ الأَوَّلِ وَأُخْرِجْتُ مِنَ الآخَرِ

Ertinya: “Telah berkata Sufyan bin ‘Uyainah: Dikatakan pada ayat: Wahai zuriat yang telah kami selamatkan bersama Nuh sungguhnya dia adalah hamba yang sangat bersyukur: Al-Isra’ ayat 3. Dia berkata: Adalah Nabi Nuh a.s. tidak memakai akan pakaian melainkan memuji akan Allah dan tidak meletakkan akan sesuatu melainkan memuji akan Allah. Katanya: Telah berkata bagi Nabi Nuh oleh Jibril: Wahai yang paling panjang usia dari kalangan para Nabi dan paling lebih syukurnya bagaimana kamu dapati akan dunia ini dan kelazatannya? Jawab Nabi Nuh: Seperti sebuah rumah yang ada baginya dua pintu lalu dimasukkan aku pada pintu yang pertama kemudian dikeluarkan aku dari pintu yang kedua.” (Riwayat Al-Kisaie pada Kitab Qasasul Anbiya’)

Dan telah diriwayatkan juga daripada Malik bin Anas kata beliau:

جَاءَ مَلَكُ الْمَوْتِ إِلَى نُوحٍ عَلَيْهِ السَّلَامُ، فَقَالَ: يَا أَطْوَلَ النَّبِيِّينَ عُمْرًا كَيْفَ وَجَدْتَ الدُّنْيَا وَلَذَّتَهَا؟ قَالَ: كَرَجُلٍ دَخَلَ بَيْتًا لَهُ بَابَانِ، فَقَامَ فِي وَسَطِ الْبَيْتِ هُنَيَّةً، ثُمَّ خَرَجَ مِنَ الْبَابِ الْآخَرِ

Ertinya: “Telah datang malaikat maut kepada Nabi Nuh a.s. lalu berkata: Wahai orang yang paling panjang usianya dari kalangan para nabi bagaimana kamu dapati tentang dunia dan nikmatnya? Jawab Nabi Nuh: Seperti seorang lelaki yang masuk ke dalam rumahnya yang ada dua pintu. Dia berdiri sekejap di tengah rumahnya kemudian keluar dari pintu yang satu lagi.” (Riwayat Ibnu Abi Dunya)

Maksudnya masa di dunia ini sangat sekejap jika dibandingkan dengan masa yang akan dilalui di akhirat.

Disebut di dalam Quran bahawa Nabi Nuh a.s. tinggal bersama kaumnya selama 950 tahun.

Firman Allah Taala:

وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا نُوحًا إِلَى قَوْمِهِ فَلَبِثَ فِيهِمْ أَلْفَ سَنَةٍ إِلَّا خَمْسِينَ عَامًا فَأَخَذَهُمُ الطُّوفَانُ وَهُمْ ظَالِمُونَ

Ertinya: “Dan sungguhnya telah Kami utus akan Nuh menjadi rasul kepada kaumnya. Maka Nuh tingggal bersama mereka selama seribu tahun kurang lima puluh. Kemudian Kami timpakan mereka (kaumnya) angin taufan dalam keadaan mereka berbuat zalim (yaitu berbuat syirik).” (Al-Ankabut: 14)

Dan telah berbeda pendapat pada usia Nabi Nuh a.s. pada beberapa pendapat.

Pendapat yang lebih kuat ialah seribu lima puluh tahun usianya.

Telah diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a. beliau berkata:

بُعِثَ نُوحٌ وَهُوَ لِأَرْبَعِينَ سَنَةٍ، وَلَبِثَ فِي قَوْمِهِ أَلْفَ سَنَةٍ إِلَّا خَمْسِينَ عَامًا، وَعَاشَ بَعْدَ الطُّوفَانِ سِتِّينَ عَامًا، حَتَّى كَثُرَ النَّاسُ وَفَشَوْا.

Ertinya: “Telah diutuskan akan Nuh menjadi rasul ketika beliau berusia empat puluh tahun dan beliau tinggal dengan kaumnya selama sembila ratus lima puluh tahun dan beliau hidup selepas banjir taufan selama enam puluh tahun sehingga manusia telah membiak ramai.”

Berkata Imam Ibnu Kathir di dalam tafsirnya:

وَقَوْلُ ابْنِ عَبَّاسٍ أَقْرَبُ

Ertinya: “Dan pendapat Ibnu Abbas r.a. ini lebih hampir (kepada kebenaran).”

Wallahua’lam. – HARAKAHDAILY 6/2/2021

- Advertisement -