MOSTI usaha pastikan keberkesanan vaksinasi COVID-19

- Advertisement -

JUJURNYA, saya sendiri merasakan debarannya. Februari menjadi bulan yang sangat mustahak bagi kami di MOSTI kerana kami diberikan tanggungjawab yang cukup penting dan besar impaknya kepada rakyat dan negara.

Menguruskan pemilihan Vaksin COVID-19, perolehan, penerimaan minda oleh rakyat, pelan logistik dan terkini Menteri MOSTI dilantik sebagai Menteri Penyelaras Program Imunisasi Kebangsaan terbesar dalam sejarah Malaysia. Kita sedang menunggu untuk ‘menyambut’ ketibaan vaksin yang dinantikan oleh rakyat Malaysia.

Hampir setahun kita semua bergelumang dengan segala perit jerih, kepayahan dan kesusahan bertahan dalam pebagai perkara, berjauhan dengan keluarga, situasi kewangan yang sememangnya terhad dan kian sempit. Sentiasa dalam ketakutan, adakah kita, orang kesayangan kita akan menjadi mangsa COVID-19 seterusnya. Apatah lagi kita terpaksa berhadapan dengan karenah anak-anak yang yang sering bertanya, bila semua ini akan berakhir.

- Advertisement -

Ya, saya merasakan semua ini, dalam semua siri jelajah kami turun berjumpa dengan segenap lapisan rakyat sama ada di dalam Parlimen saya sendiri atau seluruhnya di muka bumi Malaysia ini. Yakinlah, hiba dan tersentuh hati saya mendengarlah rintihan ini yang seolahnya tiada penghujung sehinggalah berita gembira vaksin ini akan menjengah.

Namun, ada beberapa persoalan yang bermain di fikiran rakyat, kenapa Malaysia lambat nak terima vaksin, sehingga digambarkan lemahnya kerajaan hari ini seolah tidak mendengar jeritan hati rakyat. Saya perlu tegaskan dan maklumkan kepada seluruh rakyat Malaysia, bahawa kita tidaklah lewat malah kita dilaporkan oleh agensi rating Fitchsebagai antara negara paling cepat memulakan Vaksinasi COVID-19 di Asia Pasifik. Cuma kita bukanlah terlalu cepat. Ada sebab dan kelebihannya tidak menjadi negara pertama.

Vaksin ini akan ‘menemui’ rakyat Malaysia mulai 26 Februari ini. Semua persiapan sedang disempurnakan untuk program perlindungan kesihatan rakyat ini dilaksanakan untuk manfaat ‘Lindungi Diri, Lindungi Semua’. Kita telah buat raptai pelaksanaan logistik pertama di Belaga, Sarawak, satu lokasi terpencil yang sukar sebagai tanda aras pelaksanaan seminggu yang lalu dan ianya berjaya.

3 perkara yang menjadi perhatian besar kerajaan khususnya di MOSTI berhubung aspek pemilihan dan pelaksanaan program Vaksinasi adalah:

(1) Kami perlu pastikan vaksin ini mesti berkesan kepada penerima, kerana setiap individu rakyat Malaysia adalah penting untuk kita semua.

(2) Vaksin yang dipilih untuk digunakan oleh rakyat Malaysia mestilah selamat daripada kesan sampingan yang memudaratkan nyawa rakyat atau kesihatan jangka panjang kepada rakyat.

(3) Vaksin ini mestilah kekal berkesan dan selamat. Iaitu ia mestilah stabil setelah diterima, dipindahkan dan diberikan dos kepada penerima.

3 faktor ini menjadi pengimbang dan indikator yang bukan hanya difikirkan oleh MOSTI tetapi di peringkat Kementerian Kesihatan Malaysia dan kelulusan NPRA (National Pharmaceutical Regulatory Agency) yang mengawal selia kualiti vaksin.

Maka, saya seru rakyat Malaysia, untuk terus kuat dan tabah. Vaksin adalah satu ikhtiar yang sangat penting. Pelengkapnya adalah pematuhan SOP, penjagaan kebersihan dan cakna kesihatan diri 

Semoga kita bersatu padu dalam perjuangan ini agar segera kita kembali dapat hidup seperti sediakala dan berbahagia di samping keluarga tercinta, negara dapat menggerakkan ekonomi dan kehidupan sosial yang makmur dan sejahtera. Ya, saya percaya kita semua adalah kuat. Kita boleh hadapinya bersama!

YB HAJI AHMAD AMZAD HASHIM
Timbalan Menteri Sains Teknologi dan Inovasi – HARAKAHDAILY 5/2/2021

- Advertisement -