PKP: Sindiket ambil peluang seludup daun ketum

- Advertisement -

KUALA PERLIS: Sebanyak 37 bungkusan plastik hitam dipercayai mengandungi daun ketum dirampas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Perlis, semalam.

Rampasan itu dibuat di persisiran Pantai Kurung Tengar jam 4.15 petang.

Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Shafie Paing berkata, hasil maklumat risikan mendapati sindiket giat melakukan aktiviti penyeludupan daun ketum ke negara jiran.

Katanya, sebuah bot peronda Maritim Malaysia digerak melakukan rondaan dan serbuan melalui Op Aman 2021 di perairan Perlis.

- Advertisement -

“Semasa rondaan dibuat didapati empat individu dalam keadaan mencurigakan sedang leka memunggah plastik hitam yang disyaki daun ketum dari sebuah kenderaan jenis Proton Waja.

“Bungkusan itu diturunkan di persisiran pantai sambil menunggu bot yang dipercayai tujuan diseludup ke negara jiran melalui laut. Namun sebaik menyedari kehadiran anggota penguat kuasa, mereka melarikan diri,” ujar Shafie pada sidang media, hari ini.

Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut ke atas bungkusan plastik terbabit pihaknya menemui daun ketum yang dibungkus dalam plastik kecil dengan anggaran berat 400 kilogram bernilai RM72,000.

Kata beliau, bungkusan plastik berisi daun ketum yang dirampas dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Perlis diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi tindakan lanjut.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana penyalahgunaan ketum termasuk mengimport, menjual, memproses dan lain-lain berkaitan bahan tersebut.

Jika sabit kesalahan seseorang itu boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih daripada RM10,000 atau penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya.

“Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kini diambil kesempatan penyeludup dan pembekal daun ketum bergerak lebih aktif melakukan kerja-kerja menyeludup barang terlarang.

“Ini kerana difahamkan berlaku peningkatan harga daun ketum di negara jiran sehingga mencecah RM180 sekilogram berbanding sebelum ini sekitar RM80 hingga RM100 sekilogram.

“Dengan bayaran upah yang tinggi melalui penghantaran ke negara jiran menyebabkan mereka mengambil jalan mudah untuk menjana pendapatan lumayan yang mencecah ribuan ringgit,” ujarnya.

Tambah beliau, permintaan daun ketum yang semakin tinggi di negara jiran menyebabkan penyeludup semakin berani melakukan aktiviti penyeludupan melalui jalan laut.

Laluan laut di Kuala Perlis terus menjadi tumpuan penyeludup berikutan jarak perairan dari muara Kuala Perlis ke sempadan Thailand yang dekat sekitar 1.3 batu nautika dengan perjalanan yang hanya memgambil beberapa minit untuk sampai ke Thailand.

Shafei juga berkata, hasil siasatan juga mendapati modus operandi yang dilakukan sindiket pengedaran daun ketum menggunakan bot fiber dengan enjin sangkut bergalah (ekor biawak).

“Kami percaya aktiviti itu merupakan jenayah terancang. Maritim teruskan operasi untuk menjejaki dalang utama sindiket yang dipercayai melibatkan rakyat tempatan dan warga asing,” jelas beliau. – HARAKAHDAILY 4/2/2021

- Advertisement -