KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Belia (M) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Abdul Hakim Hafizi Hamizan menggesa kerajaan agar meneliti secara mendalam dan mencari punca utama peningkatan kes positif Covid-19.
Menurut Abdul Hakim, kerajaan harus tahu apa yang perlu dilakukan bagi membendung penularan wabak Covid-19 ini.
“Jika punca itu melibatkan sektor-sektor yang bukan keperluan atau tidak penting, kerajaan harus mengambil tindakan yang lebih tegas dan tiada kompromi,” ujarnya.
Jelas beliau lagi, kes harian semakin lama semakin tinggi, keluh kesah dan kebimbangan rakyat amat dititiberatkan.
Mengulas lanjut katanya, jika kerajaan masih melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kelak, nasib rakyat, syarikat kecil dan besar serta lain-lain akan berubah.
“Kemiskinan, kesihatan mental, kehilangan pendapatan, pengangguran dan lain-lain akan turut meningkat.
“Negara semakin lama semakin maju ke hadapan bukan semakin mundur ke belakang,” katanya kepada Harakahdaily.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan kepada para pemimpin negara sama ada dalam kerajaan atau pembangkang menggalas tanggungjawab dan peranan mereka melindungi rakyat.
“Utamakan rakyat dan negara, itu kunci pencapaian bagi membendung penularan Covid-19,” jelas beliau.
Semalam, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mencatatkan 4,284 kes baharu positif Covid-19 menjadikan jumlah keseluruhan kes aktif 48,309.
Negeri yang merekodkan kes tertinggi pada penghujung Januari dan awal Februari adalah Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Johor.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dato Seri Dr Noor Hisham Abdullah, Selangor dilaporkan mencatat kes tertinggi sehingga 12 tengah hari semalam, iaitu sebanyak 1,572 kes (36.7 peratus), diikuti Johor sebanyak 964 kes (22.5 peratus) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebanyak 651 kes (15.2 peratus).
Dr Noor Hisham berkata, 18 kes kematian direkodkan melibatkan lima kes di Selangor, tiga kes di Sarawak, tiga kes di Negeri Sembilan, dua kes di Perak, dan satu kes di Melaka, Kelantan, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Johor, dan Sabah serta satu kes bukan warganegara.
KKM juga melaporkan terdapat 13 kluster baharu yang telah dikenal pasti – HARAKAHDAILY 4/2/2021