Indeks Demokrasi: Satu tinjauan ringkas

- Advertisement -

APA dia Indeks Demokrasi? Ia adalah sejenis indeks yang diterbitkan oleh sebuah syarikat persendirian Economist Group di United Kingdom yang juga menerbitkan majalah The Economist. Secara asasnya Indeks Demokrasi ini memberikan gambaran menyeluruh terhadap perbandingan jenis pentadbiran negara yang diterapkan sama ada bersifat ke arah autoritarian atau demokrasi. Sebanyak 167 negara dianalisa di dalam laporan tahunan Indeks Demokrasi ini bermula sejak tahun 2006 sehingga 2020. Untuk laporan terbaru ia boleh diakses di [1].

Ada empat kategori yang dikelaskan di dalam laporan ini. Empat kategori tersebut ialah ‘Full Democracy’ dengan skor 8.0 – 10.0. Kategori ini ialah untuk negara yang mengamalkan demokrasi secara penuh dan adil (pada pandangan mereka). Kategori kedua ialah ‘Flawed Democracy’ dengan skor 6.0 – 8.0 iaitu kategori negara yang mengamalkan demokrasi adil tetapi ada kekurangan (contoh: negara ada pilihan raya tetapi tetap menyekat kebebasan bersuara beberapa pihak atau pilihan raya mungkin tidak telus). 

- Advertisement -

Kategori ketiga ialah ‘Hybrid Regime’ dengan skor 4.0 – 6.0 untuk negara yang mempunyai banyak isu berbangkit yang membuatkan demokrasi negara yang adil terhalang. Akhir sekali ialah ‘Authoritarian Regime’ dengan skor 0.0 – 4.0 iaitu untuk kumpulan negara yang dianggap tidak mempunyai kebebasan demokrasi atau ia wujud dengan nilai yang sangat terhad.

Secara umumnya, penilaian untuk meletakkan satu-satu negara di dalam mana-mana kategori adalah berdasarkan 60 faktor (boleh dirujuk senarai penuh dalam laporan). Walau bagaimanapun, secara ringkas 60 faktor tersebut boleh dikelompokkan kepada 5 perkara utama yang dinilai:

(1) Proses pilihan raya dan kepelbagaian (Electoral Process and Pluralism) – Ketelusan proses pilihan raya dan keterlibatan parti bertanding.
(2) Kebolehfungsian Kerajaan (Functioning Government) – Ketelusan pentadbiran.
(3) Keterlibatan Politik (Political Participation) – Siapa yang boleh terlibat untuk berpolitik dan mengundi.
(4) Budaya Politik (Political Culture) – Pembahagian kuasa dalam pentadbiran.
(5) Kebebasan Rakyat (Civil Liberties).

Laporan Indeks Demokrasi 2020 ini telah meletakkan negara-negara seperti Norway dan United Kingdom sebagai negara ‘Full Democracy’ dengan masing-masing skor 9.81 dan 8.54. Selain itu, turut diletakkan dalam kategori yang sama ialah Switzerland dan New Zealand. Di dalam kategori Authoritarian Regime pula, seperti biasa sudah tentu negara-negara seperti China, North Korea, Saudi Arabia dan lain-lain menjadi sasaran kaca mata Barat. 

Bagaimana dengan Malaysia? Agak menarik apabila Malaysia diberikan penarafan markah sebanyak 7.19 iaitu kategori Flawed Democracy diletakkan satu kelompok dengan negara-negara seperti Amerika Syarikat (7.92) dan negara-negara Asean seperti Singapura (6.03) Indonesia (6.30). Lebih menarik, di kalangan lima negara-negara Asean, Malaysia menduduki tempat paling atas mengatasi Singapura, Indonesia, Thailand (6.04), Filipina (6.56).

Sekalipun berdepan dengan tuduhan kerajaan pintu belakang dan sebagainya, Malaysia tetap menduduki tempat yang paling baik dari sudut Indeks Demokrasi jika dibandingkan dengan tahun 2019 dengan skor 7.16. Ia juga lebih baik jika dibandingkan dengan tahun-tahun sebelumnya seperti tahun 2018 (6.88), 2017 (6.54), 2016 (6.54), 2015 (6.43) dan 2014 (6.49).

Sebagai kesimpulannya, kita tetap mempunyai hak untuk menerima atau menolak kajian ini. Namun, ia juga merupakan satu kajian yang perlu dihormati. Dalam situasi Malaysia berdepan dengan peralihan kerajaan bukan melalui pintu pilihan raya sehingga ada pihak yang mendakwa demokrasi di Malaysia sudah mati, Indeks Demokrasi ini menunjukkan sebaliknya. Menarik juga untuk menunggu Indeks Demokrasi pada tahun 2021 di mana Proklamasi Darurat diisytiharkan dan ada pihak menyerang nilai demokrasi di Malaysia yang dianggap sudah tiada, adakah Indeks Demokrasi sekali lagi akan menunjukkan tanggapan sebaliknya? Sama-sama kita tunggukan. 

YB AHMAD FADHLI SHAARI,
Ahli Parlimen Pasir Mas,
Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
4 Februari 2021 – HARAKAHDAILY 4/2/2021

[1] https://www.eiu.com/n/campaigns/democracy-index-2020/ 

- Advertisement -