Status pendaftaran PEJUANG dan MUDA di bawah Akta 335

- Advertisement -

JABATAN Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) adalah sebuah Jabatan di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang menguatkuasakan Akta Pertubuhan 1966 [Akta 335] dan mengawal selia semua pertubuhan berdaftar di Malaysia termasuk pertubuhan kategori politik.

Matlamat penubuhan jabatan ini adalah untuk memastikan semua pertubuhan yang berdaftar adalah teratur dan tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan bagi memelihara kebajikan, keamanan, keselamatan dan ketenteraman awam.

- Advertisement -

Berhubung dengan semakan terperinci ke atas dokumentasi permohonan pendaftaran Parti Pejuang Tanahair (PEJUANG) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), JPPM mendapati bahawa permohonan tersebut adalah tidak teratur selaras dengan peruntukan Jadual 1 Akta Pertubuhan 1966 [Akta 335].

Oleh yang demikian, permohonan pendaftaran Parti Pejuang Tanahair (PEJUANG) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) adalah ditolak pada 6 Januari 2021 berdasarkan peruntukan Seksyen 7(3)(e) Akta 335.

Sehubungan dengan itu, selaras dengan peruntukan Seksyen 18 Akta 335, permohonan rayuan boleh dibuat kepada Menteri Dalam Negeri dalam tempoh masa 30 hari daripada tarikh keputusan tersebut.

Berikutan itu, pada 8 Januari 2021 Jawatankuasa Penaja Parti PEJUANG telah mengadakan perbincangan bersama pihak JPPM bagi mendapatkan pandangan dan mengemukakan permohonan rayuan pada hari yang sama.

Walau bagaimanapun, sehingga hari ini Jawatankuasa Penaja Parti MUDA tidak berjumpa dengan pihak JPPM bagi tujuan konsultansi dan masih belum mengemukakan permohonan rayuan secara rasmi kepada Menteri Dalam Negeri.

Oleh itu, JPPM dengan ini menegaskan bahawa sesuatu pertubuhan yang tidak didaftarkan di bawah Seksyen 7 Akta 335 adalah menjadi suatu pertubuhan yang menyalahi undang-undang mengikut Seksyen 41 Akta yang sama. Sekiranya ada mana-mana pihak yang menjalankan apa-apa aktiviti pertubuhan maka tindakan pendakwaan boleh dikenakan di bawah Akta yang sama.

YB DATO’ SERI HAMZAH ZAINUDDIN
Menteri Dalam Negeri – HARAKAHDAILY 2/2/2021

- Advertisement -