Perikatan Nasional lulus daftar RoS pada 7 Ogos

PUTRAJAYA: Pendaftaran parti Perikatan Nasional telah diluluskan dan berkuat kuasa pada 7 Ogos 2020 di bawah kategori politik selaras dengan peruntukan Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335), demikian menurut Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

Advertisement

Merujuk kepada dakwaan bahawa pendaftaran Perikatan Nasional tiada dalam rekod, RoS dalam kenyataan hari ini memberitahu parti berkenaan telah didaftarkan melalui pengeluaran sijil pendaftaran PPM-019-14-07082020 yang dilulus dan ditandatangani oleh Pendaftar Pertubuhan.

“Sijil pendaftaran, logo parti dan perlembagaan parti telah ditandatangani dan dikemukakan kepada parti Perikatan Nasional sebaik sahaja pendaftaran parti diluluskan,” menurut kenyataan itu.

Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Syed Badli Shah Syed Osman hari ini dilaporkan mendakwa hasil semakan yang dibuat melalui laman sesawang RoS, tidak menemui rekod pendaftaran parti Perikatan Nasional.

RoS memaklumkan dakwaan bahawa maklumat kelulusan parti Perikatan Nasional tidak terdapat dalam sistem RoS adalah tidak benar kerana sistem di laman sesawangnya bagi kelulusan sesebuah pertubuhan dikemas kini secara automatik setiap dua bulan.
 
“Kelulusan parti Perikatan Nasional hanya akan tertera dalam carian umum laman sesawang pada awal Oktober 2020, ini memandangkan Parti Perikatan Nasional diluluskan pada Ogos 2020,” katanya.

Bagaimanapun, RoS memaklumkan carian khusus dalam sistem pertubuhan eROSES akan jelas memaparkan Parti Perikatan Nasional diluluskan pada tarikh 7 Ogos 2020. 

“Maklumat parti yang terdapat dalam sistem eROSES hanya boleh diakses oleh setiausaha parti berkenaan sahaja,” katanya.

RoS adalah agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang berfungsi untuk mengawal semua pertubuhan berdaftar di Malaysia melalui penguatkuasaan Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335). – BERNAMA