Kekal kualiti kerja di sebalik komitmen kepada jemaah

- Advertisement -

ADIK-adik saya ada tanya kepada saya, macam mana saya boleh kekalkan momentum kualiti kerja saya dengan tugasan di beberapa syarikat (ada yang peringkat Antarabangsa dan ada yang peringkat nasional) di samping tugasan di dalam jamaah (PAS) serta kini sebagai seorang Senator di Dewan Negara.

Pertama, tiada orang yang sempurna di atas muka bumi ini. Apa yang ada ialah orang yang sentiasa berusaha memperbaiki kualiti diri mereka sehingga ke garisan penamat. Kini cabaran berkerja menjadi sangat luar biasa. Ramai yang dibuang kerja dan ramai yang terdesak menjadi pekerja yang terbaik agar mereka tidak dibuang kerja. 

- Advertisement -

Kebiasaan baru yang kita hadapi ini memberi tekanan kepada kita untuk menjadi petugas atau pekerja yang tinggi daya tahan, ‘multitasking’, boleh berkerja lebih masa, sabar serta percaya dengan janji Allah bahawa setiap daripada kesusahan itu pasti akan diiringi dengan kebaikan.

Berikut ingin saya kongsikan budaya kerja yang mesti diterapkan ke dalam diri anak-anak muda Malaysia di dalam karier mereka agar mereka mampu menjadi pekerja yang terbaik:

(1) Berkongsi idea atau maklumat (sharing the cake).

Satu penyakit manusia pada hari ini ialah takut. Takut untuk berkongsi dan memberitahu idea yang mereka miliki. Sebagai contoh, apabila mereka mempunyai satu idea yang hebat, idea tersebut disimpan kerana takut orang lain pula yang dapat idea hebat tersebut.

Sebenarnya, Kalau kita berkongsi idea hebat kita kepada orang lain, kita akan menjadi lebih kreatif untuk berfikir. Secara psikologi, ia memaksa kita mencari idea yang lebih hebat lagi daripada idea asal tadi.

Ia juga memaksakan kita mengambil tindakan yang pantas untuk merealisasikan idea tersebut. Dengan menyimpan sahaja idea yang kita ada, ibarat kita tidak mempunyai apa-apa lagi. Ini hanya menghalang diri kita untuk lebih maju.

Bermulalah untuk berkongsi dengan rakan-rakan sebarang idea yang ada supaya dapat mengembangkan lagi minda kita untuk berfikir dengan hebat lagi insya-Allah.

(2) Banyak berkawan dengan orang berjaya atau berdamping dengan mereka yang hebat.

Tahukah anda 85 peratus kejayaan kita bergantung kepada mereka yang berada di sekeliling kita. Oleh itu, kelilingi diri anda dengan mereka yang hebat dan mempunyai visi serta matlamat, maka anda akan menjadi seperti mereka.

Beranikan diri untuk meninggalkan kelompok yang lama dan binalah kelompok yang baru yang akan membawa kita lebih maju ke hadapan seterusnya menjadi berjaya seperti mereka dan bawalah rakan-rakan supaya mereka juga boleh berjaya bersama.

Sekiranya kita berkawan dengan mereka yang berjaya, cerita-cerita kejayaan akan menjadi pendorong kita. Tip-tipyang mereka kongsikan boleh dijadikan pelan tindakan kita. Semuanya akan mempengaruhi pemikiran dan tindakan kita.

(3) Jangan sombong bertanya.

Sesetengah individu yang sudah berada di tahap yang selesa dan hebat, mereka malu untuk bertanya kerana risau kredibiliti mereka akan jatuh. Walau di tahap mana pun anda, tahap mana pun kepakaran anda, anda masih perlu untuk menuntut ilmu.

Cara termudah untuk mendapatkan ilmu adalah dengan bertanya! Dengan bertanya, ia boleh memudahkan pembelajaran kerana anda akan mendapat jawapan yang tepat dalam masa yang singkat dengan apa yang kita cari dan inginkan.

Terdapat juga individu yang merasakan dirinya amat rendah dan malu untuk bertanya kerana bimbang soalan yang hendak ditanyakan itu adalah soalan bodoh. Akhirnya, mereka terus menyimpan pertanyaan itu dan semua persoalan tidak terjawab dan akhirnya gagal mencapai cita-cita. Apabila bertanya, kita akan mendapat ilmu dan mengembangkan serta aplikasikan ilmu tersebut

Sekian, semoga bermanfaat buat adik-adik serta rakan-rakan saya di luar sana.

YB SENATOR IR. TS. KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Ahli Dewan Negara
Ketua Pemuda PAS Malaysia
Ketua Pemuda Perikatan Nasional – HARAKAHDAILY 2/2/2021

- Advertisement -