Pertanian: Perak tidak had pohon keluasan tanah terbiar

- Advertisement -

BAGAN DATUK: Kerajaan Negeri Perak tidak menetapkan had keluasan tanah terbiar yang boleh dipohon oleh mana-mana pihak untuk dimajukan sebagai kawasan pertanian, asalkan usaha dibuat secepat mungkin.

Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri, Razman Zakaria berkata mereka yang mempunyai kepakaran, pengetahuan dan kemampuan bagi mengusahakan pertanian boleh memohon kepada Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) atau Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) dan akan diberikan Lesen Pendudukan Sementara (TOL).

“Bagaimanapun, kita tidak mahu mereka yang sudah mendapat kelulusan itu membiarkan tanah tersebut kosong dalam tempoh yang lama,” katanya kepada pemberita selepas sesi lawatan dan penerangan bersama Koperasi Bersepadu Rungkup Berhad, di sini hari ini.

- Advertisement -

Menurut Razman, kerajaan negeri menetapkan tempoh tertentu bagi mereka yang mahu mengusahakan projek pertanian di atas tanah terbiar di bandar, namun perkara sama tidak dikenakan kepada pemohon di kawasan luar bandar.

“Di bandar, kita mahu mereka usahakan tanaman kontan tapi di luar bandar mereka boleh usahakan sebarang tanaman,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Razman berkata pihaknya akan meneliti aduan penduduk berhubung projek pembangunan kolam udang yang diusahakan oleh sebuah syarikat swasta di atas tanah milik PKNP seluas 47 hektar di Mukim Bagan Datuk di sini.

“Kita hendak melihat punca kuasa dan bagaimana kita boleh menolong penduduk kampung bagi mencari jalan penyelesaian berhubung isu tersebut,” katanya.

Pada November tahun lalu, kira-kira 100 penduduk dari Kampung Sungai Burung, Kampung Rungkup Kecil dan Kampung Simpang Empat Rungkup mengadakan bantahan secara aman mengenai projek berkenaan yang didakwa merosakkan tanaman kelapa dan kelapa sawit mereka akibat resapan air masin daripada kolam udang berkenaan.

Penduduk turut meluahkan kebimbangan jika berlaku kejadian ban pecah di kawasan sekitar yang boleh menyebabkan air laut masuk ke kawasan tanaman serta kediaman penduduk setempat. – BERNAMA

- Advertisement -