KPT prihatin pengajian pelajar IPT berjalan sempurna

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) prihatin dan menyedari kepentingan dalam memastikan keperluan program pengajian pelajar institusi pendidikan tinggi (IPT) berjalan dengan sempurna walaupun berhadapan dengan cabaran pandemik Covid-19.

Menterinya, Dato’ Dr Noraini Ahmad berkata, KPT telah mengambil langkah proaktif dengan melaksanakan sesi libat urus bersama Majlis Perwakilan Pelajar, pihak pengurusan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), pakar kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkenaan tarikh kemasukan pelajar ke kampus secara fizikal.

“Selain itu, kajian dan survey yang dibuat oleh Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) mendapati majoriti pelajar mahukan sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) diadakan secara dalam talian,” ujarnya dalam satu kenyataan menrusi laman social Facebooknya, malam ini.

- Advertisement -

Justeru, katanya berdasarkan hasil dan usaha daripada sesi libat urus tersebut, pihak MKN telah bersetuju untuk membenarkan hanya enam kategori pelajar berkeperluan kembali ke kampus secara fizikal seawal 1 Mac 2021 bagi mengikuti PdP secara hibrid iaitu secara fizikal dan secara dalam talian.

Dalam pada itu, KPT memaklumkan, enam kategori itu merangkumi pelajar peringkat sijil, diploma, ijazah sarjana muda dan pasca siswazah, yang memerlukan praktikal, makmal, klinikal, latih amal, studio, bengkel dan peralatan khas.

Turut dibenarkan ke kampus ialah pelajar yang tidak mempunyai akses dan persekitaran tidak kondusif untuk PdP dalam talian, pelajar antarabangsa sedia ada dan baharu kecuali dari United Kingdom, pelajar orang kurang upaya (OKU) dan pelajar peperiksaan Malaysia University EnglishTest (MUET), antarabangsa dan badan profesional.

Menurut kenyataan KPT hari ini, pelajar asasi atau setara dan diploma yang sedia ada di kampus, boleh meneruskan pembelajaran secara hybrid manakala pelajar bukan kategori pelajar berkeperluan pula akan meneruskan PdP secara dalam talian.

Pelaksanaan PdP secara hibrid di dalam kampus boleh dijalankan, dengan mematuhi sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) dan mengutamakan keselamatan serta kebajikan pelajar.

Bagi pelajar berkeperluan dari Semenanjung yang pulang ke kampus di Sabah dan Sarawak, diwajibkan untuk menjalani ujian swab yang akan dibiayai Kementerian Kesihatan.

Bagi pelajar yang tiba di Sarawak, mereka diwajibkan untuk menjalani kuarantin selama 14 hari, sebelum dibenarkan pulang ke kampus dengan kos makan dan kuarantin mulai 1 Mac, akan ditanggung sepenuhnya Kerajaan Negeri Sarawak.

Pelajar dari Sabah dan Sarawak pula akan ditempatkan di pusat pengasingan yang ditentukan oleh IPT masing-masing, bagi memastikan mereka bebas daripada sebarang gejala Covid-19.

Pelajar disarankan untuk merujuk kepada SOP kerajaan negeri Sabah dan Sarawak yang sedang berkuat kuasa, manakala pihak IPT boleh merujuk kepada SOP sektor pengajian tinggi sedia ada yang telah diwartakan.

Maklumat lanjut mengenai urusan kemasukan ke IPT, boleh berhubung dengan Bilik Gerakan COVID-19 KPT (24 jam) di talian 03-8870 6777/6949/ 6623/ 6628 atau melayari laman web IPT atau terus menghubungi IPT masing-masing. – HARAKAHDAILY 31/1/2021

- Advertisement -