Covid-19: Kes sembuh tertinggi 4,522, baharu 5,298

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Jumlah kes sembuh Covid-19 harian hari ini adalah tertinggi apabila mencatatkan 4,522 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ini menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh adalah 166,049.

- Advertisement -

Sebelum ini, jumlah kes sembuh tertinggi ialah 4,427 pada 24 Jan lepas.

Beliau juga memaklumkan kes baharu hari ini sebanyak 5,298 kes menjadikan 214,959 kes kumulatif.

Katanya, terdapat tiga kes import iaitu dua warganegara dan satu bukan warganegara, manakala kes tempatan sebanyak 5,295 kes iaitu 3,406 warganegara dan 1,889 bukan warganegara

Tambahnya, kes aktif pula sebanyak 48,150 kes sementara yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) ialah 313 kes, memerlukan bantuan pernafasan 127 kes; dan 14 kes kematian.

Beliau berkata, Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 2,460 kes (46.4 peratus), diikuti oleh Johor sebanyak 1,020 kes (19.3 peratus) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebanyak 783 kes (14.8 peratus).

“Selama tiga hari berturut-turut, negara kita telah digemparkan dengan kes harian baharu melebihi 5,000 sehari.

“KKM ingin mengesahkan bahawa, situasi ini disebabkan oleh pelaporan lewat kes-kes ke CPRC Kebangsaan KKM termasuk kes-kes yang dikesan positif pada tahun 2020,” katanya dalam kenyataan mengenai situasi semasa jangkitan penyakit Covid-19, hari ini.

Jelasnya, peningkatan kes yang mendadak itu adalah disebabkan oleh saringan bersasar di tempat kerja, saringan kontak rapat, dan saringan kumpulan berisiko tinggi yang dijalankan secara besar-besaran di beberapa buah negeri.

Namun begitu, katanya kes-kes yang lewat dilaporkan ini telah diambil tindakan sewajarnya di lapangan oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) berkenaan seperti pengasingan dan rawatan ke atas kes-kes positif, pengesanan kontak rapat serta pengesanan kes secara aktif.

Tambahnya terdapat juga kelewatan pelaporan menggunakan Sistem Makmal Kesihatan Awam (SIMKA) oleh fasiliti swasta berdaftar misalnya klinik-klinik dan hospital-hospital swasta.

“Terima kasih kepada fasiliti swasta yang telah melaporkan kes segera menggunakan SIMKA, dan juga pengguna MySejahtera yang membuat laporan kendiri bagi memaklumkan status keputusan ujian Covid-19 mereka.

“KKM akan bekerjasama dengan semua pihak berkaitan agar isu isu kelewatan pelaporan kes-kes positif ini dapat ditangani dengan segera bagi membendung penularan Covid-19 di Malaysia,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 31/1/2021

- Advertisement -