Bersatu hati tangani Covid-19

- Advertisement -

SEMALAM, negara mencatatkan bilangan kes positif tertinggi Covid-19 iaitu sebanyak 5,278 kes baharu. Saya percaya dengan bilangan kes positif yang sebegitu tinggi, tentunya ramai dari kalangan rakyat risau dan gusar akan peningkatan kes secara mendadak setiap hari walaupun pelbagai kaedah dan cara diperkenal dan dilakukan oleh Kerajaan.

- Advertisement -

Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) seperti penjarakan sosial, penjagaan kendiri seperti memakai pelitup muka dan penggunaan hand sanitizer, tidak mengunjungi tempat sesak dan tidak melakukan aktiviti secara berkumpulan adalah antara ciri pematuhan SOP yang perlu dipraktikkan untuk menghindarkan diri mahupun keluarga dari dijangkiti wabak Covid-19.

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 yang dilakukan Kerajaan adalah bertujuan untuk mengetatkan lagi pematuhan SOP dalam usaha untuk menghindari penularan wabak pandemik Covid-19 di seluruh negara. Ianya tidak bersifat politik, berkepentingan diri mahupun pertubuhan atau untuk kepentingan mana – mana organisasi.

Namun dalam masa yang sama, keperluan ekonomi dan kedudukan kewangan rakyat juga harus diambil kira. Sektor-sektor ekonomi mahupun pekerjaan yang dibuka tentunya sudah diambil kira aspek keselamatan dan kesihatan dari segenap sudut tanpa menjejaskan sedikit pun kepentingan mahupun keselamatan rakyat dan negara.

Benar, tiada siapa pun mampu memuaskan hati setiap pihak dengan tindakan yang dilakukan termasuk oleh Kerajaan. Sebagai Kerajaan, sudah tentunya setiap tindakan yang dilakukan mengambil kira setiap cadangan dan pandangan dengan harapan agar semua rakyat memperolehi manfaat dan kebaikan.

Namun sebenarnya, apa yang paling penting adalah cara kita menghadapinya. Saat ini sewajarnya kita semua rakyat Malaysia harus bersama-sama dan bersatu hati menangani penularan wabak Covid-19 tanpa mengambil kira ideologi politik, agama, bangsa dan kaum.

Kepentingan serta masa depan rakyat dan negara harus diutamakan, bukannya individu, ideologi atau parti politik mahupun cita-cita pihak tertentu yang mampu menjejaskan semua yang diusahakan.

Perpecahan hanya akan memburukkan keadaan dan langsung tidak membantu dalam usaha menangani penularan wabak Covid-19.

Begitu juga usaha untuk memecahbelahkan perpaduan rakyat demi kepentingan politik pihak-pihak tertentu yang dikira sangat tidak munasabah dan wajar saat ini dimana kepentingan utama tentunya untuk bersatu padu menangani penularan wabak pandemik Covid-19.

Sewajarnya kita sebagai rakyat harus bijak menilai dan mempertimbangkan tindakan kita demi untuk kebaikan semua pihak. Jangan hanya kerana tidak sependapat dan berlainan ideologi, kita musnahkan impian dan harapan orang lain.

Mungkin hari ini kita ketawa, menghina, mengkritik dan mencemuh orang lain hanya kerana kita percaya pilihan dan jalan yang kita ikuti betul, namun adakah kita tahu bagaimana orang lain menilai kita sebelum mahupun saat ini?

Manusia tidak pernah lupa dan sejarah tidak pernah pudar. Jika hari ini kita berkata kitalah sahaja yang benar dan betul, bagaimana pula keadaannya dahulu, adakah kita dipercayai dan disokong? Sebelum terhantuk dan terhumban, wajarlah menilai diri dan keadaan.

Pepatah orang tua-tua “Bersatu Kita Teguh, Bercerai Kita Roboh“. Bersama kita menang, berpecah kita kalah. Bersatu menentang wabak pandemik Covid-19, insyallah dengan usaha dan keyakinan kita pasti akan menang. Bersatu kita sebagai sebuah pasukan untuk membina negara ke arah yang lebih cemerlang dan gemilang, kita pasti berjaya.

Berpecah hanya merugikan semua pihak, lebih rugi apabila berpecah kerana keegoan, kebatilan mahupun kejahilan. Berpecah tidak mampu menghadirkan kemenangan melainkan jika kita bersatu dan bersama sebagai rakyat Malaysia.

AWANG HASHIM
Timbalan Menteri Sumber Manusia
Ahli Parlimen Pendang HARAKAHDAILY 31/1/2021

- Advertisement -