KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu sedia membantu seorang pelajar genius bagi menyambung pelajarannya ke Kolej Genius Insan di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Negeri Sembilan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, adik Muhammad Mu’az Zhofri Mohamad Yong, 13, merupakan seorang pelajar yang cerdik dari keluarga susah.
Kata Ustaz Wan Sukairi, bapa kepada adik Muhammad Mu’az, Mohamad Yong Awang, 62, mengalami masalah lumpuh sebahagian anggota badan hampir dua tahun lalu.
Kini, isteri Mohamad Yong, Rosimah Yusof, 50, menggalas tugas suaminya mencari sumber pendapatan dengan mengambil upah menjaga seorang bayi.
“”Insya Allah, pihak kerajaan negeri dan saya sendiri selaku YB (ADUN) tidak akan membiarkan adik Muhammad ini terkandas di sini, kerana beliau selayaknya dibantu.
“Jika pelajar biasa pun kita bantu, apatah lagi seorang pelajar yang cerdik, akan lebih lagi kita (kerajaan) bantu. Beliau dari keluarga yang susah kerana ketua keluarga (bapa) sakit dan tidak boleh bekerja,” ujarnya kepada Harakahdaily, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengunjungi keluarga pelajar berkenaan di Kampung Losong Wakaf Nyor Kembar, Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam, Kuala Terengganu.
Ustaz Wan Sukairi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri menjelaskan, pihak Pusat Khidmat Masyarakat DUN Wakaf Mempelam akan menanggung segala kos pengurusan dan pendaftaran kolej di USIM itu.
“Bagi pihak saya (ADUN) dan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Wakaf Mempelam, kita akan menanggung semua kos menghantar, membeli peralatan untuk ke asrama dan kos pembelajaran adik Muhamad Mu’az Zhofri ini.
“Insya Allah, tidak semua orang dapat tawaran ini dan adik ini bertuah. Semoga Allah permudahkan semuanya,” jelas beliau.
Sehubungan itu, Mohamad Yong merakamkan penghargaan kepada ADUN Wakaf Mempelam dan orang ramai yang bersimpati dengan nasib anaknya untuk sambung belajar ke USIM.
“Saya sangat-sangat berterima kasih kepada YB (Wan Sukairi) kerana sudi bantu anak kelima saya Muhammad Mu’az. Dia dapat tawaran belajar Tahap 1 Hamzah di KGI selepas lulus ujian kelayakan kategori pintar di Kolej Genius Insan.
“Saya selalu pesan pada anak saya, jangan jadikan kemiskinan kita sebagai alasan untuk tidak bersekolah dan tidak boleh berjaya dalam hidup,” ujarnya.
Manakala, ibu pelajar berkenaan Rohimah berkata, di sebalik kebanggaan dengan kecemerlangan Muhammad Mu’az ada tersimpan kebimbangan.
“Saya rasa berbangga dengan kejayaan dia (anak) tetapi jauh di sudut hati, bimbang jika tidak mampu untuk bayar yuran sebanyak RM1,660 dan kos-kos pendaftaran lain yang memerlukan bayaran,” jelasnya.
Menurut beliau, suaminya telah lama sakit, mata kabur dan tidak boleh berjalan lagi seperti biasa kerana masalah dalaman sejak beberapa tahun lalu.
Harakahdaily dimaklumkan, sejak kisah pelajar genius ini tular di media sosial dan arus perdana banyak pihak tampil untuk membantunya.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim telah menghantar wakilnya dari Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Kuala Terengganu, Zulkifli Wahab bagi menghulurkan sumbangannya.
Hadir sama mengiringi Ustaz Wan Sukairi, Ketua Kebajikan DUN Wakaf Mempelam, Azizah Mahmud dan Jawatankuasa Pembangunan dan keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Losong, Mat Lani Ahmad.
Sehubungan itu, orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Mohamad Yong di talian 019-9039292 atau menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB), Rohimah Yusof No.13-017-02-864675-5. – HARAKAHDAILY 29/1/2021