GKP PERMAI terima suntikan tambahan RM150 juta

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Gerakan Khas Prihatin PERMAI (GKP PERMAI) akan menerima suntikan tambahan sebanyak RM150 juta menjadikan jumlah keseluruhan RM800 juta.

Menteri Kewangan, Tengku Dato’ Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz memaklumkan bagi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) mikro yang telah menerima GKP sebelum ini tidak perlu mendaftar semula kerana bantuan RM1,000 akan terus dikreditkan ke dalam akaun.

- Advertisement -

“Bagi mengetahui soalan-soalan lazim mengenai GKP PERMAI boleh terus didapati di pautan http://gkp.hasil.gov.my/ ,” ujarnya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan bagaimana manfaat itu boleh didapati berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hampir di seluruh negara kecuali Sarawak.

Dalam pada itu, Zafrul berkata kerajaan telah menyalurkan sebanyak RM2.55 bilion kepada PKS mikro melalui program GKP dan GKP 2.0.

Ia menjadikan jumlah keseluruhan GKP PERMAI yang disalurkan kepada rakyat adalah berjumlah RM3.35 bilion.

Dari segi melindungi rakyat dan memperbaiki ekonomi negara, beliau menjelaskan bahawa Belanjawan 2021 merupakan pakej rangsangan ekonomi Malaysia bagi tahun 2021.

Manakala bagi pakej bantuan PERMAI pula, kata Zafrul adalah pakej tambahan untuk merapatkan jurang pelaksanaan di antara waktu bencana banjir dan pengisytiharan PKP dengan langkah-langkah Belanjawan 2021.

“Harapan kita PERMAI dapat melaraskan semula pemulihan ekonomi seperti yang dirancang kerajaan melalui Belanjawan 2021,” katanya ketika menyampaikan laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) ke-38 perlaksanaan Inisiatif di Facebook miliknya, hari ini. – HARAKAHDAILY 27/1/2021

- Advertisement -