ACL 2021: Tugas berat menanti JDT

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Juara bertahan Liga Super Johor Darul Ta’zim (JDT) berdepan laluan getir pada saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim ini apabila diundi bersama juara Liga Super China musim lepas, Jiangsu FC.

Dalam undian yang berlangsung di AFC House hari ini, skuad Harimau Selatan diundi dalam Kumpulan G bersama Jiangsu FC dan wakil dari Jepun Nagoya Grampus dan pemenang perlawanan play-off antara wakil Korea Selatan dan Thailand.

JDT yang membuat penampilan ketiga musim ini adalah satu-satunya wakil negara dijangka berdepan tugas berat untuk melepasi peringkat kumpulan seperti yang berlaku dalam dua musim sebelum ini.

- Advertisement -

Musim lepas, JDT terpaksa menarik diri daripada kempen ACL kerana tidak dibenarkan ke Qatar untuk meneruskan saingan pada November lepas, berikutan sekatan perjalanan dilaksanakan kerajaan bagi mengekang wabak Covid-19.

Sementara itu, juara bertahan dan pemegang Liga Pro Teluk Parsi Persepolis FC diundi dalam kumpulan E bersama Al Rayyan dari Qatar, Goa (India) dan pemenang perlawanan play-off di antara wakil Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan Iraq.

Kempen peringkat kumpulan ACL bagi zon barat dijadual pada 14-30 April manakala zon timur pula pada 21 April hingga 7 Mei.

Pusingan suku akhir akan berlangsung pada 27-29 Sept secara kalah mati manakala peringkat separuh akhir pula berlangsung secara timbal balik pada 19-27 Okt.

Final ACL berlangsung secara timbal balik pada 21 dan 27 Nov.

Berikut adalah keputusan undian ACL 2021:

ZON BARAT:

Kumpulan A: Al-Hilal SFC (KSA), Shabab Al Ahli (UAE), Istiklol (TJK) dan pemenang play-off satu (QAT/UZB)

Kumpulan B: Sharjah (UAE), Tractor (IRN), Pakhtakor (UZB) dan pemenang play-off dua

Kumpulan C: Al-Duhail (QAT), Al Ahli Saudi (KSA), Esteghlal (IRN) dan Al Shorta (IRQ)

Kumpulan D: Al Sadd (QAT), Al Nassr (KSA), Al Wehdat (JOR) dan pemenang play-off tiga

Kumpulan E: Persepolis (IRN), Al Rayyan (QAT), Goa (IND) dan pemenang play-off empat

ZON TIMUR:

Kumpulan F: BG Pathum United (THA), Ulsan Hyundai (KOR), Viettel FC (VIE) dan pemenang play-off satu

Kumpulan G: Jiangsu FC (CHN), Nagoya Grampus (JPN), JDT (MAS) dan pemenang play-off tiga

Kumpulan H: Jeonbuk Hyundai (KOR), Gamba Osaka (JPN), Tampines Rovers (SIN) dan Sydney (AUS)

Kumpulan I: Kawasaki Frontale (JPN), Guangzhou FC (CHN), United City FC (PHI) dan pemenang play-off empat

Kumpulan J: Shandong Luneng (CHN), Port FC (THA), Kitchee (HKG) dan pemenang play-off dua. – BERNAMA

- Advertisement -