PTMP, PSR usaha cipta peluang jajaran penguasaan politik

Pemimpin politik dan kerajaan disifatkan telah mewakili tauke pemaju

- Advertisement -

BALIK PULAU: Projek mega Pelan Induk Pengangkutan (PTMP) dan Tambakan Selatan (PSR) di negeri ini adalah satu usaha Kerajaan DAP Pulau Pinang untuk mencipta peluang jajaran penguasaan politik.

Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff berkata, PTMP wujud hasil kajian Konsultan Halcrow untuk mencapai objektif menyelesaikan masalah kesesakan trafik di pulau dan tanah besar.

- Advertisement -

“Konsep penyelesaian cadangannya ialah ‘moving people, not cars’ dan adanya ‘park and ride’. Waktu itu tiada PSR atau idea tambakan ‘pulau puaka’ itu. Kos (PTMP) waktu itu kira-kira RM10 bilion sahaja.

“Tetapi dicadangkan PSR sebagai dana membiayai PTMP. Di sinilah bermula kalutnya. Kerana ada pihak bernafsu rakus penuh agenda ibarat ‘kera mendapat bunga’,” bidas beliau mewajarkan penegasannya.

Ustaz Fauzi malah memetik keterangan dari video tular oleh parti GERAKAN di mana menurut Halcrow, pembinaan terowong bawah laut hanya wajar dicadangkan menjelang tahun 2030 untuk melengkapi pakej PTMP dan PSR itu.

Lantaran itu, beliau mempersoalkan anggaran keuntungan projek PTMP dan PSR versi Konsortium SRS yang bernilai RM46 bilion berbanding projek sama versi Halcrow di mana terlalu jauh lebih rendah iaitu cuma RM27 bilion.

Tegasnya, terlalu banyak perkara samar-samar dan mencurigakan di mana ditakuti penuh dengan manipulasi indah, tetapi sebenarnya fatamorgana di mana jauh nampak ada, tetapi dekat tiada hingga berkejar tidak berkesudahan.

“Ibarat memburu bayang di saat tenggelamnya matahari. Isu ini bukan baru sehari dua, bertahun dah PSR berlabuh wajah. Nelayan Tanjong Tokong (contoh) testimoni terhadap kisah suka duka ini. Biarlah namanya pampasan atau sumbangan, yang pasti hilang cerita kesukaan, diganti kedukaan berpanjangan.

“Kehilangan tapak rayau nelayan cari makan (macam) pasir menimbus dalam periuk nasi setelah penat bertempikan. Hanya pasrah diberi untuk korban sebuah pembangunan. Mana kerajaan? Mana segala pakej dirangka? Mana peluang pekerjaan?

“Mana program keusahawanan? Begitulah manisnya bicara, ibarat ‘menanam tebu dibibir’?” ujarnya mengajak renungan iktibar telah pernah terjadi dan kini menjadi keluhan mereka yang tertimpa nasib itu.

Menurut beliau, nelayan Tanjong Tokong kini terus merayau ke Teluk Bahang berebut memukat dengan nelayan di sana dan kadang-kadang menghala hingga ke perairan di Penaga untuk mencari rezeki telah hilang dahulu.

“Mungkin nanti ada yang kata, “Itu projek swasta yang punya. Pandai-pandai cari (hendak mengadu kepada) kerajaan pula”. Habis, jika kerajaan tidak boleh membela nasib rakyatnya, siapa? Jika kerajaan atau kroni wakil kerajaan jadi brokernya, apa nasib badan? Alamat meranalah jawabnya.

“Tak sangka buah cempedak jadi nangka, wakil rakyat jadi wakil tauke. Kerajaan dikuasai tauke. Buatlah projek apapun, pasti ada bayang tauke, rancangan tauke,” ujarnya menyeru rakyat bersuara dan bertindak.

Kerana tegas beliau lagi, dengan Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) projek tersebut belum muktamad, rakyat wajar bersuara apatah lagi kebaikan PTMP dan PSR kabur berbanding kerosakan bakal berlaku terang bersuluh. – HARAKAHDAILY 27/1/2021

- Advertisement -