Nelayan dinasihat tidak terpedaya pampasan PSR

- Advertisement -

BALIK PULAU: Para nelayan diingat mengambil iktibar dari projek tambakan laut di Padang Kota Baru berdekatan Persiaran Gurney, sebelum teruja dengan tawaran pampasan terhadap projek seumpama oleh Kerajaan DAP Pulau Pinang.

- Advertisement -

Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang, Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff berkata, begitu juga perkara sama berlaku di Tanjong Tokong, maka sewajarnta nelayan juga menyatakan tidak bersetuju dengan projek Tambakan Selatan Pulau Pinang (PSR).

Menurut beliau, projek Tanjong Pinang 2 yang kini terbengkalai disebabkan skandal terowong dasar laut oleh bekas Ketua Menteri Pulau Pinang dan dihadapkan ke mahkamah turut melandakan masalah kepada nelayan.

Begitu juga katanya, pampasan RM15,000 yang diterima nelayan Tanjong Tokong, tetapi akibatnya kini mereka tidak lagi mendapat hasil laut disebabkan tambakan, sebagaimana dahulu memperolehi antara RM1,000 hingga RM3,000.

Demikian itu nasihatnya, para nelayan mesti memikirkan mengenai lubuk rezeki yang ada untuk masa depan dan generasi mereka dari dibiarkan musnah menerusi projek tambakan laut ghairah dilakukan seluruh negeri itu.

“Jangan gelapkan masa depan sendiri dan musnahkan sumber makanan laut untuk rakyat negeri ini dengan menerima pampasan tidak seberapa itu. Lihat projek tambak di Padang Kota Baru (Persiaran Gurney).

“Dahulu menjadi tempat rezeki nelayan Tanjong Tokong, sekarang lenyap dan apa yang pernah berlaku itu tidak mustahil akan dirasai nelayan di selatan pulau,” nasihatnya.

Beliau mengulas kenyataan EXCO Kerajaan Pulau Pinang, Zairil Khir Johari bahawa pihak kerajaan negeri sedang memperhalusi inisiatif, langkah mitigasi dan mekanisme memuktamadkan pakej bayaran pampasan kepada nelayan terjejas dengan PSR.

Sebelum ini Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan bahawa projek PSR adalah tertakluk kepada Kajian Penilaian Alam Sekitar (EIA) di mana syarat-syarat kelulusan perlu dipatuhi.

EIA adalah satu keperluan perundangan di bawah Seksyen 34A Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974 di mana prosesnya telah mendapat persijilan MS ISO 900:2015, sekali gus ia adalah satu proses yang ketat dan mengikut amalan di peringkat antarabangsa.

“Penggerak projek ini tidak boleh memulakan sebarang kerja di tapak sehingga Laporan Environmental Management Plan (EMP) diluluskan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS). EMP ini merupakan salah satu syarat utama daripada syarat-syarat kelulusan EIA yang perlu dipatuhi,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 14/10/2020

- Advertisement -