Ketua Pemuda PAS kongsi tips urus masa kerjaya

- Advertisement -

ADA yang tanya saya, macam mana saya boleh kerja di Kuala Lumpur (KL) dan duduk di Lanchang. Ulang alik setiap hari hampir 95 km jarak dari rumah ke tempat kerja.

Pertama, saya nak kongsikan di sini kenapa saya pilih Lanchang. Saya beli tanah di Lanchang bukan kerana saya nak buka ladang sawit, kebun getah atau kebun buah, tetapi saya pilih Lanchang sebab Lanchang adalah titik tengah di Semenanjung. 

Lanchang memudahkan saya bergerak melalui jalan darat untuk berkhidmat kepada jamaah sama ada di Utara, Selatan, Timur atau Barat Semenanjung Malaysia. Maka oleh kerana itu, saya memilih Lanchang untuk saya bermastautin dan tinggal bersama keluarga.

- Advertisement -

Kedua, setakat ini alhamdulillah meskipun diberi tanggungjawab yang besar di dalam jamaah dan di dalam syarikat tempat saya kerja, saya masih bersedia untuk memberikan khidmat terbaik saya kepada jamaah dan majikan saya meskipun rumah saya jauh daripada tempat kerja saya dan pejabat Ketua Pemuda.

Kualiti kerja dalam karier saya alhamdulillah saya mampu usaha untuk kekalkan hasil daripada sokongan keluarga saya serta aplikasi tips-tips kerja yang akan saya kongsikan kepada kawan-kawan seperti di bawah:

(i) Pengurusan masa

Setiap orang dikurniakan 24 jam oleh Allah S.W.T. Seperti dalam salah satu wasiat Imam Hassan Al-Banna: 

“Kewajipan-kewajipan kita lebih banyak daripada masa yang ada pada kita, oleh itu gunakanlah masa dengan sebaik-baiknya dan ringkaskanlah pelaksanaannya.”

Sesungguhnya masa itu milik Allah. Mohonlah padaNya agar dikurniakan keberkatan masa. Insya-Allah apabila kita dikurniakan keberkatan masa, kita akan dapat menyiapkan banyak perkara dalam aktiviti seharian kita. Namun, usaha pengurusan masa ini tidak hanya terhenti setakat kita memohon kepada Allah untuk dikurniakan keberkatan masa, ia harus datang bersama perancangan yang tersusun. Rancanglah tugasan seharian mengikut tangga tingkatan yang sepatutnya.

(ii) Disiplin

Tiada majikan yang mahukan pekerja yang tidak berdisiplin. Sila jaga masa kehadiran dan keberadaan anda di pejabat. Rekod kehadiran yang cemerlang adalah melambangkan imej kita. Pekerja yang sering hadir lewat seringkali memberikan alasan yang sama berulang kali. Kenapa kita perlu ulang kesalahan yang sama sedangkan kita boleh rancang perjalanan kita ke pejabat dengan lebih baik. 

Kita diberi masa yang tidak kurang dan tidak lebih 24 jam sehari dan setiap orang mempunyai lingkungan masalah masing-masing. Keberadaan di pejabat juga adalah penting. Ada juga pekerja yang rekod kehadiran baik tetapi mempunyai masalah keberadaan di pejabat yang sentiasa dilindungi daripada pengetahuan majikan. Berlaku jujur kepada majikan dan organisasi anda kalau inginkan keberkatan dalam bekerja. Rancang juga cuti tahunan yang diberikan supaya tidak melebihi cuti yang dibenarkan. Cuti sakit pula hanya digunakan ketika sakit bukan hanya untuk suka-suka bercuti.

(iii) Maklumkan perkembangan tugasan

Setiap tugasan yang kita buat, maklumkan kepada majikan secara berkala supaya majikan sedar kewujudan kita dan nampak hasil kerja kita. Jangan harapkan orang lain untuk melaporkan tugasan kita kepada majikan kerana kadangkala orang lain mengambil kesempatan atas apa yang telah kita usahakan. Setiap bulan, hantar laporan penuh tugasan yang telah kita selesaikan mengikut sasaran yang telah ditetapkan tanpa gagal.

Tiga tips ini menjadi kunci kepada saya untuk mengekalkan kualiti kerja saya di dalam karier saya.

Sekarang ini ramai daripada kita yang Work From Home (WFH), kerja dari rumah. Pengurusan masa yang berkesan, disiplin yang tinggi serta budaya pemakluman kerja secara berkala kepada majikan kita adalah sangat penting agar kita dapat mengekalkan momentum kerja kita seperti sebelum ini. Semoga bermanfaat.

SENATOR IR TS HAJI KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Ketua Pemuda PAS Malaysia
Ketua Pemuda Perikatan Nasional – HARAKAHDAILY 25/1/2021

- Advertisement -