Johor terima RM36.29 juta selenggara jalan

Foto hiasan.

JOHOR BAHRU: Johor bakal menerima peruntukan sebanyak RM36.29 juta daripada kerajaan persekutuan, untuk kerja-kerja penyelenggaran jalan-jalan persekutuan di seluruh negeri yang mana sebahagian besarnya akan melibatkan daerah Johor Bahru.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor, Mohd Solihan Badri berkata, penyelenggaraan di Johor Bahru melibatkan peruntukan sebanyak RM12.1 juta, manakala bakinya untuk daerah-daerah lain.

Di Johor Bahru, penyelenggaraan adalah melibatkan Lebuh Raya Pasir Gudang iaitu di Seksyen 16-23 iaitu persimpangan Plentong-Seri Alam, Seksyen 10-12 di persimpangan Taman Perindustrian Tebrau-Taman Daya, serta Seksyen 0-2 di Tol Perling sehingga susur Skudai, dengan keseluruhan kos sebanyak RM10 juta.

Advertisement

“Kerja pembaikan itu adalah melibatkan sepanjang 11 kilometer dan akan bermula 15 Feb depan selama dua bulan dengan satu lorong ditutup. Jadi saya harap pengguna jalan raya dapat bersabar.

“Selain itu, penyelenggaraan juga akan melibatkan jambatan Ulu Pengeli di Kluang, yang rosak akibat banjir baru-baru ini degan peruntukan sebanyak RM400,000,” katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas meninjau lebuh raya Pasir Gudang di sini, hari ini.

Sementara itu, Mohd Solihan menjelaskan kajian forensik yang dijalankan di lebuh raya Pasir Gudang mendapati, antara salah satu punca kawasan itu kerap mengalami kerosakan adalah berikutan kelemahan strukturnya.

“Saya telah meminta Jabatan Kerja Raya negeri untuk meneliti kerja kontraktor, selain pihak konsesi perlu memastikan wang kerajaan yang dibelanjakan adalah spesifik. Kita juga akan senarai hitam kontraktor yang tidak memenuhi spesifikasi kementerian.

“Rekod hasil kerja kontraktor yang terdahulu membuat jalan ini sehingga banyak kerugian juga telah kita ambil, bagaimanapun kita juga perlu melihat bahawa antara faktor lain adalah jalan ini terlalu sibuk, ‘heavy duty’ dan banyak dilalui kenderaan serta perlu penyelenggaraan dari semasa ke semasa,” katanya.

Mohd Solihan dalam masa sama berkata, kerajaan negeri juga telah memohon peruntukan sebanyak RM48 juta daripada Kementerian Kerja Raya, bagi membaiki Jalan Persekutuan dan negeri yang rosak akibat bajir, runtuh dan mendap, serta kerja-kerja bagi menaik taraf jalan lain.

“Peruntukan ini melibatkan daerah yang terjejas banjir dan ada jalan yang kita sudah kenal pasti. Kita yakin kementerian akan teliti dan diluluskan dalam masa terdekat,” katanya. – BERNAMA