Pinda Akta 355: Tidak timbul diskriminasi LGBT

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan tidak bermaksud untuk memusuhi golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) berhubung cadangan pindaan Akta 355.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Ahmad Marzuk Shaary, berkata sebaliknya undang-undang berkenaan adalah proses rawatan agar mereka menjalani kehidupan normal mengikut yang digariskan syariat.

Katanya, proses pindaan itu akan berjalan mengikut kaedah undang-undang dan hikmah sebelum ia dibentang di Parlimen.

- Advertisement -

Menurutnya, walaupun pindaan akta berkenaan menerima kecaman dan bantahan daripada sesetengah pihak, namun demi kemuliaan Islam ia akan dilaksanakan.

“Tidak timbul soal diskriminasi kerana apa yang kita lakukan adalah berdasarkan rasa kasih kepada mereka.

“Kerajaan juga turut bertanggungjawab terhadap mereka, kerana itu kita merencanakan tindakan yang cukup komprehensif khususnya dari sudut undang-undang serta penguatkuasaan,” ujarnya.

Beliau berkata, pindaan akta berkenaan sudah mestinya akan mendapatkan tentangan daripada golongan tertentu.

“Kalau tanya pencuri atau perompak pun mereka tidak bersetuju untuk pinda undang-undang tapi ia akan tetap dilaksanakan,” ujarnya.

Tambahnya, yang menyokong pindaan akta berkenaan lebih ramai berbanding yang menolak hanya beberapa kerat sahaja.

Beliau berkata demikian selepas majlis sumbangan kepada 250 asnaf sempena Program Food Bank Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) 2.0 di pekarangan lobi Kompleks Islam Darul Naim, Lundang di sini, hari ini.

Marzuk berkata, cadangan pindaan akta itu sebahagian daripada proses untuk menyelaraskan undang-undang.

Tambahnya, ia bersesuaian dengan peredaran zaman kini khususnya berkaitan kegiatan LGBT dipaparkan di media sosial tanpa kawalan.

Jelasnya lagi, apa yang dilakukan kerajaan untuk masa depan generasi yang lebih baik pada masa akan datang.

Katanya, Islam sejak awal lagi telah menyediakan ruang yang wajib dipatuhi oleh hambanya mengikut lunas-lunas yang dibenarkan.

Tambahnya, ianya bukan soal hak asasi sebagaimana yang diperjuangkan gerakan kumpulan liberal yang menyimpang jauh daripada budaya dan ajaran Islam itu sendiri.

“Ramai golongan LGBT yang ingin berubah, jadi sekiranya ia dibiarkan gejala itu berleluasa keazaman untuk berubah tidak ada gunanya.

“Kita tak mahu gerakan seperti ini bebas bergerak dalam komuniti kerana ianya amat bahaya,” ujarnya.

Menurutnya, apa yang penting negara mesti diselamatkan daripada golongan berkenaan bagi mengelak bala dan kemurkaan Allah. – HARAKAHDAILY 24/1/2021

- Advertisement -