Inisiatif kelas KAFA di TV Al-Hijrah wajar dipuji

SAYA menyokong penuh usaha Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Kementerian Kewangan yang telah mengambil inisiatif memperkenalkan slot Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) menerusi siaran televisyen di saluran TV Al-Hijrah.

Inisiatif ini merupakan satu platform baharu yang wajar dioptimumkan dalam menghadapi situasi pandemik COVID-19 kerana ia dapat membantu pelajar-pelajar mendapat akses pendidikan agama dengan mudah terutama bagi mereka yang mempunyai masalah capaian internet.

Advertisement

Tambahan pula, inisiatif ini juga jelas menzahirkan kelas KAFA adalah salah satu kelas pengajian yang amat penting kepada proses pembangunan insaniah pelajar-pelajar peringkat sekolah rendah.

Saya berpendapat, usaha yang dirintis pada era pemerintahan Kerajaan PN ini wajar disokong oleh semua pihak sebagai langkah bagi memartabatkan pendidikan Islam dalam masyarakat melalui pembelajaran dalam siaran televisyen.

Selain itu, kerjasama yang dipersetujui antara kerajaan dan TV Al-Hijrah jelas sekali mampu menghidupkan lagi peranan siaran televisyen tersebut sebagai medan penyebaran dakwah islamiyah bahkan cukup mudah untuk diakses tanpa membebankan mana-mana pihak. 

Perkara ini juga mampu membuka peluang kepada penyertaan dari segenap lapisan golongan sama ada, anak-anak mahupun ibu bapa malahan slot yang disediakan juga cukup lengkap dengan pelbagai subjek seperti Akidah, Ibadah, Sirah serta Lughatul Quran.

Oleh itu, saya mengajak agar semua pihak bersama-sama menyokong usaha murni ini bagi memastikan kelangsungan ilmu keagamaan, tarbiah dan kerohanian sentiasa berterusan malah turut meninggalkan impak yang besar tanpa mengira had umur.

“Islam Memperkukuh Perpaduan”

YB SHAHARIZUKIRNAIN ABDUL KADIR
Ahli Parlimen Setiu – HARAKAHDAILY 24/1/2021