Tidak beri cuti peristiwa elak penularan Covid-19

- Advertisement -

ALOR SETAR: Ramai dianggap keliru antara cuti peristiwa dan cuti yang diwarta sempena perayaan Thaipusam di Kedah sebelum ini.

Cuti peristiwa bukan dimasuk dalam kalendar tahunan yang diwajibkan sebaliknya ia diberi atas ihsan kerajaan negeri.

Bagaimanapun ekoran pandemik Covid-19 sekarang cuti peristiwa tersebut tidak diberi bagi mengelakkan penularan wabak tersebut.

- Advertisement -

Pengerusi Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Kedah, K Kumaresan berkata, keputusan tiada cuti peristiwa sempena Thaipusam tahun ini dibuat secara kolektif anggota Exco kerajaan negeri.

“Keputusan itu bukan dibuat Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor seorang sahaja, sebaliknya mengambil keputusan semua Exco dan nasihat daripada agensi kerajaan yang berkaitan.

“Ini adalah langkah terbaik untuk rakyat Kedah memandangkan negara dalam keadaan pandemik Covid-19 dan tempoh darurat sekarang,” katanya di sini.

Rabu lepas menteri besar mengumumkan kerajaan negeri tidak membenarkan sebarang perayaan diadakan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan darurat kesihatan sekarang bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19.

Ia juga termasuk perayaan Thaipusam. Berikutan itu kerajaan negeri tidak memberi cuti perisitiwa seperti tahun lepas bagi mengelakkan jangkitan wabak tersebut.

Bagaimanapun keputusan kerajaan Kedah itu tidak disenangi Timbalan Presiden MIC, Dato’ S Saravanan dengan mendakwa Menteri Besar Kedah tidak adil terhadap kaum India.

K Kumaresan yang juga pegawai khas Menteri Besar Kedah berkata, tidak berbangkit anggapan kerajaan Kedah tidak adil, memandangkan baru-baru ini tapak kuil hindu di Taman Ladang Henrietta, Padang Serai diluluskan.

Sedangkan kata beliau permohonan tersebut dibuat masyarakat India sejak 10 tahun lalu. – HARAKAHDAILY 22/1/2021

- Advertisement -