Tidak wajar guna nama kementerian kritik Kedah

ALOR SETAR: Tindakan Timbalan Presiden MIC, Dato’ Seri M Saravanan menggunakan letter head Kementerian Sumber Manusia menegur Kedah tidak mengisytiharkan cuti peristiwa sempena Thaipusam dianggap tidak wajar.

Setiausaha Akhbar Menteri Besar Kedah, Muhammad Mat Yakim berkata, tidak sepatutnya surat atas nama kementerian diguna bagi tujuan politik pula.

Advertisement

Kata beliau, Kementerian Sumber Manusia bertanggungjawab dalam hal ehwal pekerja dan segala urusan yang berkaitan dan bukannya mewakili mana-mana parti politik.

“Menggunakan surat berkepala kementerian untuk membawa mesej agama dan politik kepartian adalah tidak wajar dan dianggap tidak beretika,” katanya di sini.

Semalam Saravanan dikatakan menggunakan kepala surat kementeriannya mempertikaikan keputusan kerajaan Kedah tidak memberi cuti peristiwa untuk perayaan Thaipusam 28 Januari ini.

Pada Rabu lepas kerajaan Kedah mengumumkan tidak dibenarkan diadakan sebarang perayaan sempena Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) termasuk Thaipusam bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19.

Berikutan itu katanya kerajaan negeri tidak mengumumkan cuti peristiwa bagi tujuan itu tahun ini disebabkan bimbang penularan wabak. – HARAKAHDAILY 22/1/2021