Menteri sayu lihat wajah petugas barisan hadapan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri menasihati para pesakit Covid-19 supaya terus bersabar dalam menghadapi musibah ini.

Beliau juga turut berkongsi pengalaman sendiri semasa menerima rawatan di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban selama sebelas hari selepas disahkan positif Covid-19 pada 4 Oktober tahun lepas.

- Advertisement -

“Ujian yang paling besar kita apabila kita ditimpa musibah seperti ini, perkara pertama sebagai seorang Islam kita sentiasa menginsafi dan meninggikan kesabaran kepada Allah.

“Kita mesti menggunakan masa dengan sebaik mungkin. Walaupun 11 hari (dirawat) saya isi masa dengan sebaik mungkin dengan menyiapkan sebuah buku dan mampu khatam Al-Quran sekali serta menjaga solat,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook. Beliau turut memaklumkan melawat Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, semalam.

Menerusi hantaran itu, Zulkifli turut meluahkan rasa sayu dan sedih melihat keletihan yang terpancar di raut wajah para petugas barisan hadapan, namun terselit kegembiraan apabila pihaknya bersama Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam (YaPEIM) menyampaikan sumbangan makanan.

Dalam pertemuan singkat itu, beliau juga menyerahkan buku bertajuk ‘Hari-Hari Tarbiah Dalam Hidupku’ yang mengandungi panduan dan perkongsian pengalaman semasa menjadi pesakit Covid-19 kepada para pesakit.

“Walaupun pertemuan yang singkat dan dipisahkan oleh dinding kaca, saya amat seronok dapat bertemu mereka. Kalau boleh, saya nak berada lebih lama bersama mereka, namun kekangan masa menafikan hasrat tersebut.

“Saya faham perasaan mereka kerana pernah berada dalam situasi mereka. Kita tidak mahu pesakit Covid-19 terasa disisih dan tertekan. Sentiasa letakkan sangka baik kepada Allah SWT dan berfikiran positif,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 22/1/2021

- Advertisement -