Para ulamak, institusi fatwa dunia sepakat harus, wajib

Hukum pengambilan vaksin COVID-19

KUALA LUMPUR: Hukum penggunaan vaksin COVID-19 dalam kalangan umat Islam dalam negara, adalah selaras dengan pandangan tokoh-tokoh ilmuwan Islam dan institusi-institusi fatwa dunia.

Bahkan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, beliau turut mengambil inisiatif menulis surat kepada tokoh ilmuwan Islam dunia, bagi mendapatkan pandangan peribadi mereka dalam hal berkenaan.

Ini katanya termasuk kepada Syeikh al-Azhar Syeikh Dr Ahmad al-Tayyib; Pengerusi Majlis Fatwa Kerajaan Emiriah Arab Bersatu Syeikh Abdullah Ben Bayyah; dan anggota Majma’ Fuqaha’ al-Shari’ah Amerika Syarikat Syeikh Dr Muhammad al-Zuhaily.

Advertisement

“Semuanya menjurus kepada perlunya vaksin dan pendapat ini juga saya terima dari MUI (Majlis Ulamak Indonesia),” katanya dalam khutbah Jumaatnya di Surau Ar Rahman, Ibu Pejabat Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri di sini, yang disiarkan secara langsung melalui akaun Facebook rasminya.

Pada 23 Disember, Zulkifli mengumumkan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam, telah mengambil ketetapan bahawa hukum penggunaan vaksin COVID-19 adalah harus dan ia wajib diambil oleh golongan yang ditetapkan kerajaan.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata pihaknya akan berterusan memberi kefahaman dan pencerahan sebaiknya kepada umat Islam dalam negara, berkenaan isu vaksin itu.

Tegasnya juga, sesuatu hukum yang  diputuskan tidak ada kena mengena untuk kepentingan peribadi, tetapi ia lebih bagi menyelesaikan permasalahan umum.

Dalam pada itu nasihatnya, pesakit COVID-19 diingatkan agar sentiasa berfikiran optimistik, tidak berasa tersisih dan tertekan sepanjang menerima rawatan.

Beliau yang juga pernah menjalani rawatan wabak tersebut di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban selepas disahkan positif 4 Oktober tahun lepas turut menasihatkan pesakit agar sentiasa bersangka baik dan memenuhi masa lapang sebaik mungkin dengan mendekatkan diri kepada Allah SWT dan membaca.

“Ujian yang paling besar kita apabila kita ditimpa musibah seperti ini, perkara pertama sebagai seorang Islam kita sentiasa menginsafi dan meninggikan kesabaran kepada Allah,” katanya.

Menerusi hantaran itu, Zulkifli berkongsi video bertemu dan memberi kata-kata motivasi kepada pesakit dan petugas barisan hadapan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang dengan dipisahkan dinding kaca.

Dalam kunjungan itu, beliau menyerahkan buku bertajuk ‘Hari-hari Tarbiah Dalam  Hidupku’ yang mengandungi panduan dan perkongsian pengalaman ditulisnya semasa menjadi pesakit COVID-19 selain sumbangan makanan daripada Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia kepada pesakit.

Zulkifli juga mezahirkan perasaan sebak dan sayu ketika melihat raut wajah pesakit dan petugas yang jelas keletihan ‘berperang’ dengan pandemik tersebut.

“Saya faham perasaan mereka kerana pernah berada dalam situasi mereka. Banyakkan berdoa moga Allah S.W.T terus memelihara Malaysia,” katanya. – BERNAMA