Polis rampas syabu, heroin bernilai RM290,000

- Advertisement -

PASIR MAS: Polis Kelantan merampas 5.19 gram syabu, 120 botol berisi serbuk keputihan disyaki heroin seberat 520 gram dan 2,800 pil Yaba.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kelantan, ACP Sheik Azhar Sheik Omar berkata, rampasan tersebut dianggarkan bernilai RM290,000.

- Advertisement -

Katanya, rampasan itu dibuat melalui tiga operasi berasingan semalam yang turut menyita dua motosikal jenis Yamaha dan sebuah kereta Myvi.

“Secara keseluruhan kita merampas dadah dalam tiga serbuan semalam berjumlah kira-kira RM290,000.

“Manakala nilai sitaan motosikal dan kereta pula dengan jumlah keseluruhannya dianggar RM390,000,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Sheik Azhar berkata kes pertama melibatkan serbuan di sebuah rumah di Kampung Gaung, Jalan Pasir Mas – Salor dan menahan seorang lelaki berusia 29 tahun bersama 1,000 pil kuda.

Kes kedua pula jam 8 malam pada hari sama, polis menahan motosikal dinaiki lelaki berusia 31 tahun di Kampung Tal Tujuh dan menemui syabu seberat 5.19 gram.

“Manakala kes ketiga kira-kira jam 10 malam polis menyerbu sebuah rumah di Kampung Slow Machang dan menemui kotak yang mengandungi heroin serta Yaba,” katanya.

Kata beliau siasatan lanjut sedang dijalankan terhadap kes berkenaan dan mereka yang ditahan direman selama tujuh hari sehingga 27 Januari depan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 39A akta sama. – HARAKAHDAILY 21/1/2021

- Advertisement -