Pembantu Perawatan Kesihatan maut jatuh HRPB

- Advertisement -

IPOH: Seorang lelaki yang maut selepas jatuh dari tingkat tiga bangunan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini semalam merupakan Pembantu Perawatan Kesihatan dan bukannya Pembantu Perubatan.

Pengarah HRPB Dr Abdul Malek Osman berkata mendiang, G. Rama Nair, 39, merupakan seorang kakitangan yang amat disenangi oleh rakan sekerja serta tidak menunjukkan sebarang masalah sepanjang menjalankan tugas.

- Advertisement -

“Pihak hospital berharap semua pihak dapat menghormati privasi ahli keluarga dan mengelak daripada membuat sebarang spekulasi serta tidak menyebarkan apa-apa maklumat tidak tepat atau palsu,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Dr Abdul Malek berkata mangsa telah bertugas mengikut waktu bekerja pejabat iaitu dari pukul 8 pagi hingga 5 petang, semalam.

Selain memberi jaminan akan memberi kerjasama kepada polis bagi menjalankan siasatan, beliau turut menggalakkan para petugas hospital untuk mendapatkan sokongan emosi sekiranya perlu daripada pasukan kesihatan mental dan sokongan psikososial (MHPSS).

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh ACP A. Asmadi Abdul Aziz ketika dihubungi semalam memaklumkan mayat Rama Nair ditemukan terbaring di kawasan parkir motosikal HRPB oleh pengawal hospital pada kira-kira pukul 6.45 petang.

Katanya, saksi juga mengesahkan yang mangsa bertugas 24 jam sebelum ditemukan maut dan kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – BERNAMA

- Advertisement -