Darurat: Bukan masa kumpul ‘peluru’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan darurat bukan masa untuk mengumpul ‘peluru’ bagi menembak sesama sendiri apabila tamatnya konflik ekonomi melibatkan pandemik Covid-19 nanti.

Sebaliknya, kata penganalisis Politik, Profesor Madya Dr Rusdi Omar, pada masa ini sangat sesuai semua pemimpin politik bermuhasabah dan duduk semeja bagi melahirkan idea terbaik membendung pandemic Covid-19.

- Advertisement -

Memetik laporan Sinar Harian Online, beliau berkata darurat dilakukan sebagai langkah proaktif untuk membendung dan melandaikan kes positif pandemik itu yang telah mencecah empat angka secara berterusan sejak bulan Disember lalu.

Malah, katanya lagi ini membolehkan kerajaan melaksanakan langkah-langkah perlu untuk menjamin ketenteraman awam di negara ini.

Pada 12 Januari lalu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi perkenan Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan sehingga 1 Ogos sebagai langkah proaktif membendung wabak Covid-19 di Malaysia.

Al-Sultan Abdullah turut berkenan dengan cadangan kerajaan bagi pembentukan satu Jawatankuasa Bebas yang akan mengesyorkan kepada Seri Paduka Baginda sekiranya pelaksanaan darurat ini dapat ditamatkan lebih awal.

Sehari sebelum itu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada sesi menghadap Yang di-Pertuan Agong, menyembah maklum keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri mengenai cadangan pelaksanaan darurat sebagai langkah proaktif untuk membendung dan melandaikan kes positif Covid-19 harian yang mencecah empat angka secara berterusan sejak Disember lalu.

Dr Rusdi menambah, darurat juga sebenarnya sebagai satu ‘petanda’ kepada pemimpin politik negara supaya kembali mengutamakan rakyat dalam segala hal, bukan kepentingan diri sehingga sanggup memperjudikan maruah untuk mendapat sokongan.

Beliau berkata, pelaksanaan darurat tidak bererti persediaan untuk menghadapi Pilihan raya Umum ke-15 (PRU15) dilupakan.

“Ini bukan bermakna kita perlu lupakan persediaan PRU15, tapi ketika ini ada lagi perkara lain yang perlu diutamakan dan ia melibatkan masa depan rakyat, ekonomi negara dan kelangsungan kita. Bila isu Covid-19 ini berjaya kita kawal dengan baik, maka PRU15 boleh dilaksanakan,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 20/1/2021

- Advertisement -