Nasihat Eksekutif, kuasa perundangan di bawah Perlembagaan

- Advertisement -

PERISYTIHARAN Darurat oleh YDPA tidak boleh dicabar dengan kuatkuasanya Perkara 150(8) Perlembagaan Persekutuan. Namun begitu Parlimen boleh menamatkan tempoh darurat lebih awal melalui resolusi. Proses persidangan Parlimen semasa darurat ditetapkan oleh Perkara 150(9) Perlembagaan Persekutuan. Malah YDPA melalui Ordinan boleh mengadakan prosiding Parlimen mengikut kesesuaian waktu darurat. 

Dalam keadaan perlukan kesegeraan, YDPA boleh gubal Ordinan tanpa membentangkannya di Parlimen. Dalam situasi biasa, Ordinan melibatkan kuasa perundangan justeru persidangan Parlimen itu perlu selaras dengan amalan syura yang melandasi sistem politik tradisional yang mendukung Perlembagaan Persekutuan.

- Advertisement -

Secara alternatifnya tanpa prosiding Parlimen, YDPA boleh melaksanakan syura untuk menggubal Ordinan melalui rundingan dengan MRR juga pihak-pihak berwibawa lain seperti Peguam Negara, MKN selain daripada Jemaah Menteri. 

Selagi tiada Ordinan dikeluarkan oleh YDPA untuk menggantung kuat kuasa doktrin nasihat di bawah Perkara 40(1A), maka Baginda masih perlu menerima nasihat Jemaah Menteri terlebih dahulu untuk melaksanakan kuasa di bawah Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan. Perkara 55 dibaca dengan Perkara 40(1A) iaitu Baginda perlu bertindak atas nasihat Jemaah Menteri untuk memanggil, memprorog dan membubarkan Parlimen, melainkan pembubaran Parlimen di bawah Perkara 40(2) Perlembagaan Persekutuan.

Dalam Penggubalan Ordinan, YDPA tidak tertakluk pada nasihat Jemaah Menteri. Hal ini kerana kuasa perundangan Persekutuan termaktub dalam Perkara 44 Perlembagaan, iaitu YDPA dan 2 Majlis Parlimen. Justeru, YDPA tidak perlu mengikut nasihat Jemaah Menteri untuk menggubal Ordinan.

Nasihat Jemaah Menteri hanya terpakai dalam penjalanan fungsi kuasa eksekutif YDPA dan perkara-perkara yang diberikan oleh Undang-undang Perlembagaan.

DATUK DR WAN AHMAD FAUZI WAN HUSAIN
Pengasas Jurispruden Watan merangkap Profesor Madya Fakulti Pengurusan Industri, UMP – HARAKAHDAILY 20/1/2021 

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -