Tun Salleh Abas meninggal dunia

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohamed Salleh Abas disahkan meninggal dunia jam 3.20 pagi di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah, Terengganu.

Allahyarham yang juga merupakan Pengerusi as-Salihin Trustee Berhad menghembuskan nafas terakhir pada usia 91 tahun selepas disahkan positif COVID-19 sebelum itu.

- Advertisement -

Mohamed Salleh yang berasal dari Kampung Raja, Besut merupakan Ketua Hakim Negara pada tahun 1984 hingga 1988.

Allahyarham pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih atas tiket PAS apabila memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-10 pada tahun 1999.

Mohamed Salleh melanjutkan pendidikannya di Universiti Wales, United Kingdom pada tahun 1949 dan memperoleh ijazahnya dalam bidang undang-undang.

Tahun 1957, beliau kembali ke Malaysia dan menjadi majistret di Kota Bharu, Kelantan.

Tidak lama selepas kemerdekaan pada tahun yang sama, Mohamed Salleh dipindahkan ke Ibu Negara Kuala Lumpur di mana beliau berkhidmat sebagai Penolong Pendakwa Raya.

Beliau kemudian merantau semula ke Britain untuk memburu ijazah sarjananya dalam bidang Undang-undang Antarabangsa dan Perlembagaan di Universiti London.

Mohamed Salleh kembali pada tahun 1962, dan dilantik sebagai Penasihat Undang-undang dan Penolong Pendakwa Raya untuk kedua-dua Negeri Sembilan dan Melaka.

Setahun kemudian, beliau pulang ke Kuala Lumpur dan menyandang berbagai-bagai jawatan di bawah Jabatan Peguam Negara, dan akhirnya dilantik sebagai Peguam Cara Negara. – HARAKAHDAILY 16/1/2021

- Advertisement -