Pengorbanan Tun Salleh amat besar – Presiden PAS

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang turut meluah rasa sedih di atas perkhabaran pemergian mantan Ketua Hakim Negara, Allahyarham Tun Mohamed Salleh Abas ke rahmatullah pada pagi ini.

“Rasa sedih menyelubungi suasana pagi ini tatkala mendapat perkhabaran pemergian bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohamed Salleh Abas ke rahmatullah,” katanya.

- Advertisement -

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan ucapan takziah buat seluruh ahli keluarga Allahyarham di atas pemergian insan yang tersayang dan berharap ahli keluarga bersabar dan reda di atas ujian itu.

“Saya mengucapkan takziah kepada keluarga Almarhum, semoga sabar dan reda atas ujian ini.

“Jasa Almarhum sangat besar dalam menulis draf Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan 1993 dengan tangannya sendiri, sewaktu saya menjadi Pengerusi Jawatankuasa Penggubalan Enakmen tersebut.

Kenangan. Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang bersalaman dengan allahyarham bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas.

“Semoga Allah mencucuri rahmat kepada Almarhum, diterima amal soleh, diampunkan segala dosanya dan ditempatkan dalam kalangan para solihin,” demikian luah beliau.

Allahyarham Tun Mohamed Salleh Abas disahkan meninggal dunia tepat pada jam 3.20 pagi di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah, Terengganu, selepas disahkan positif COVID-19 sebelum itu.

Mohamed Salleh yang berasal dari Kampung Raja, Besut merupakan Ketua Hakim Negara pada tahun 1984 hingga 1988.

Allahyarham pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih atas tiket PAS apabila memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-10 pada tahun 1999.

Mohamed Salleh melanjutkan pendidikannya di Universiti Wales, United Kingdom pada tahun 1949 dan memperoleh ijazahnya dalam bidang undang-undang.

Tahun 1957, beliau kembali ke Malaysia dan menjadi majistret di Kota Bharu, Kelantan.

Tidak lama selepas kemerdekaan pada tahun yang sama, Mohamed Salleh dipindahkan ke Ibu Negara Kuala Lumpur di mana beliau berkhidmat sebagai Penolong Pendakwa Raya.

Beliau kemudian merantau semula ke Britain untuk memburu ijazah sarjananya dalam bidang Undang-undang Antarabangsa dan Perlembagaan di Universiti London.

Mohamed Salleh kembali pada tahun 1962, dan dilantik sebagai Penasihat Undang-undang dan Penolong Pendakwa Raya untuk kedua-dua Negeri Sembilan dan Melaka.

Setahun kemudian, beliau pulang ke Kuala Lumpur dan menyandang berbagai-bagai jawatan di bawah Jabatan Peguam Negara, dan akhirnya dilantik sebagai Peguam Cara Negara. – HARAKAHDAILY 16/1/2021

- Advertisement -