Jumlah kenderaan rentas sempadan berkurangan

- Advertisement -

PASIR PUTEH: Polis akan bertindak tegas berdasarkan penguatkuasaan undang-undang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai malam tadi termasuk menutup semua ‘lorong tikus’ di sempadan negeri ini.

- Advertisement -

Ketua Polis Kelantan, Dato’ Shafien Mamat berkata, kerajaan sudah memberi kelonggaran kepada orang ramai sebelum ini untuk kembali ke kediaman masing-masing.

Katanya, mulai hari Sabtu Sekatan Jalan Raya (SJR) di negeri ini akan diperketatkan lagi dengan tindakan lebih tegas kepada mereka yang melanggar PKP dan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang diwartakan.

“Pada hari ini, pergerakan kenderaan di semua sekatan jalan raya (SJR) di negeri ini semakin berkurangan kepada 1,552 kenderaan berbanding hari pertama PKP Bersyarat (PKPB) iaitu 3,315 kenderaan yang merentasi SJR.

“Sebanyak 74 kompaun dikeluarkan semalam melibatkan 43 orang tidak memakai pelitup muka dan 31 orang gagal mematuhi penjarakan fizikal,” katanya kepada pemberita selepas meninjau Sekatan jalan raya (SRJ) Bukit Yong, di sini semalam.

Shafien berkata, sebanyak 84 kenderaan diarah berpatah balik ke lokasi asal dalam tempoh dua hari pelaksanaan SJR kerana gagal menunjukkan dokumen sah merentas negeri dan memberi alasan yang tidak munasabah.

Beliau berkata, empat lokasi utama SJR iaitu di Gua Musang, Jeli dan dua di daerah ini dikekal termasuk menyediakan pasukan khas untuk mengawal selia lorong tikus terutama di sempadan Pasir Puteh/ Kuala Besut.

“Di Besut kita adakan kerjasama dengan kontinjen polis Kelantan/Terengganu bagi melicinkan penugasan yang dipertanggungjawabkan,” katanya.

Shafien menambah, beberapa lorong tikus terutama sempadan Kuala Besut/Semerak akan dipantau oleh anggota secara bergilir-gilir termasuk melibatkan anggota yang tidak berpakaian seragam.

“Orang ramai termasuk yang tinggal di kawasan sempadan negeri dinasihatkan tidak cuba merentas sempadan dengan cara yang tidak betul. Sekiranya, ada kecemasan dan urusan penting pihak polis sedia membantu mengikut prosedur yang ditetapkan kerajaan.

“Perlu diingatkan mana-mana pihak terutama dari zon merah yang berhasrat masuk ke negeri ini diwajibkan melakukan saringan COVID-19 terlebih dahulu sebagai syarat utama,” katanya.- HARAKAHDAILY 16/1/2021

- Advertisement -