Darurat: Fokus kesihatan rakyat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) menjunjung perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah terhadap proklamasi darurat yang diisytiharkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin pada Selasa.

- Advertisement -

Ketuanya, Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh berkata, perkara itu merupakan suatu keperluan kepada arena politik negara bagi mengalihkan tumpuan sepenuhnya kepada kebajikan dan kesihatan rakyat.

“Buat masa ini, ia adalah keputusan yang terbaik kerana pilihan raya memerlukan komitmen Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk memikirkan kesinambungan survival politik masing-masing.

“Dengan proklamasi darurat ini, semua ahli politik tidak perlu memikirkan tentang keperluan berkempen dan sebagainya. Sebaliknya terus berusaha memikirkan jalan untuk membantu rakyat di kawasan masing-masing dan seluruh negara,” ujarnya dalam satu kenyataan, pada Rabu.

Ujarnya, rakyat tidak perlu bimbang dengan perjalanan sepanjang pelaksanaan darurat kerana ia tidak melibatkan sebarang rampasan kuasa daripada tentera, malah segala kegiatan ekonomi negara berjalan seperti sediakala.

“Secara dasarnya, Perdana Menteri tidak mempunyai kuasa mutlak kerana kesemua Menteri masih memegang portfolio masing-masing serta penubuhan Jawatankuasa Bebas Khas disertai juga ahli politik pembangkang yang mana akan memastikan proklamasi darurat ini hanya digunakan sehingga pandemik COVID-19 berakhir.

“Rakyat masih boleh meneruskan hidup seperti biasa tanpa sekatan gangguan politik seperti yang berlaku pada tahun 1969,” ujarnya seraya mengharapkan semua pihak berusaha mematuhi darurat ini dan tidak memprovokasi rakyat dengan perkara yang bersifat persepsi semata-mata.

Nuridah berkata, penerimaan rakyat terhadap darurat ini sangat positif dan mereka mengharapkan segala politiking dapat dihentikan bagi memberikan fokus sepenuhnya terhadap permasalahan rakyat.

Terdahulu, Istana Negara telah mengeluarkan kenyataan bahawa Al-Sultan Abdullah telah memberi perkenan proklamasi darurat dilaksanakan hingga 1 Ogos tahun ini sebagai langkah proaktif membendung wabak COVID-19.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam pengumuman khas darurat pada hari sama menjelaskan bahawa jemaah menteri telah menasihati Yang di-Pertuan Agong mengeluarkan proklamasi darurat bagi seluruh negara menurut Perkara 150(1) Perlembagaan Persekutuan, berkuat kuasa 11 Jan 2021 hingga 1 Ogos 2021.

Perkara 150(1) itu antara lainnya memperuntukkan bahawa Yang di-Pertuan Agong boleh mengisytiharkan darurat jika baginda berpuas hati suatu darurat besar sedang berlaku menyebabkan keselamatan atau kehidupan ekonomi atau ketenteraman awam dalam Persekutuan sedang terancam. – HARAKAHDAILY 15/1/2021

- Advertisement -