Amal anjur derma darah setiap 3 bulan

KOTA BHARU: Orang ramai berpeluang menderma darah kepada hospital di Kelantan melalui program Amal Mega Blood Donation 2021.

Program berkenaan diadakan secara serentak di seluruh negara bermula hari ini hingga 17 Januari ini.

Advertisement

Pengarah Jabatan Amal Kelantan, Mohd Aliman Ismail berkata, program berkenaan melibatkan beberapa tempat di negeri itu diadakan dengan kerjasama Pusat Tabung Darah Negeri.

Katanya, memandangkan wabak COVID-19 menular di Kelantan, pihaknya terpaksa mengecilkan jumlah mereka yang ingin menderma pada satu-satu masa.

“Sasaran selain anggota Amal termasuk seluruh entiti di bawah Dewan Pemuda PAS dan seluruh rakyat Malaysia juga turut dialu-alukan menderma.

“Paling tidak, sasaran 500 penderma dapat dikumpulkan secara berperingkat,” katanya di sini hari ini.

Beliau juga berkata, program derma darah itu bukan kali pertama diadakan, sebaliknya donation mega julung kali diselaras secara serentak di seluruh negara.

“Program kebajikan berskala mega dan akan dibuat setiap tiga bulan sekali bagi menampung tabung darah hospital di setiap negeri,” ujarnya.

Katanya, bermula hari ini derma darah dibuka di Masjid Ibrahimi, Pasir Puteh bermula jam 8.30 pagi hingga 12.30 petang.

Selain itu, derma darah dibuka Pusat Tranfusi HRPZ Il untuk penderma dari Tumpat, Ketereh dan Bachok.

Manakala hari Sabtu pula diadakan di Pusat Tranfusi HRPZ II bermula jam 8.30 pagi hingga 4.30 petang untuk penderma dari Kota Bharu, Pengkalan Chepa dan Kubang Kerian.

Menurutnya juga, tempat menderma darah di Pasir Puteh dibuka di Econsave bermula jam 10 pagi hingga 4 petang.

“Hospital Machang dan Dewan Majlis Daerah Tanah Merah juga diadakan pada 16 Januari bermula jam 8.30 pagi hingga 3 petang,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 15/1/2021