Pertikai Titah : Sifat derhaka, khianat kepada Agong

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Memprovokasi pemikiran dan minda rakyat dengan mempertikaikan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah berkenaan proklamasi darurat disifatkan sebagai derhaka dan khianat kepada Baginda.

- Advertisement -

Pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Mohd Syakir Mohd Rosdi berkata, keputusan pengisytiharan darurat adalah berdasarkan kebijaksanaan Baginda Yang Di-Pertuan Agong, bukannya diputuskan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Katanya, Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang diwartakan pada Khamis dijangka mampu menstabilkan kembali politik dan ekonomi negara dengan beberapa cadangan dan saranannya.

Beliau mencadangkan jawatankuasa bebas yang akan dilantik dengan kebijaksanaan Baginda bersama barisan Kerajaan Pusat dan negeri adalah dalam kalangan profesional di luar politik yang boleh menasihati Baginda tanpa sebarang kepentingan politik.

“Golongan seperti ini lebih ramai berbanding ahli politik, sewajarnya diberi peluang suara-suara mereka dalam kerajaan,” ujarnya mencadangkan jawatankuasa ini dapat diteruskan walaupun setelah COVID-19 reda bagi menasihati Baginda dari sudut ekonomi, politik dan sosial.

Mohd Syakir, dalam kenyataannya turut mencadangkan agar dibentuk sebuah Kabinet Ilmuwan yang dianggotai 222 ahli profesional pelbagai latar belakang sebagai ‘check and balance‘ kepada 222 jumlah ahli Parlimen.

Manakala, dari sudut pengukuhan ekonomi pula, kerajaan dicadangkan untuk membuktikan kestabilan pengurusan dan pentadbiran negara kepada para pelabur dengan menjaga hubungan baik antara politik dan ekonomi di samping membentuk jawatankuasa pemandu bagi pemantauan ekonomi yang pernah berlaku pengehadan sebelum ini.

“Untuk itu, mulut ahli politik atau rakyat yang agak boleh memberi kesan kepada ekonomi wajar dikawal oleh kerajaan Baginda agar setiap daripada mereka berhenti daripada politiking yang boleh memberi kesan negatif kepada ekonomi negara,” katanya.

Walau bagaimanapun, usaha yang agak mustahil itu boleh dilaksanakan dengan gembelengan tenaga daripada pihak Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dan pelbagai kementerian yang lain, ujarnya.

“Kita tidak tahu setakat mana telusnya mana-mana kerajaan yang telah dibentuk sebelum ini, inilah masa yang sesuai untuk kerajaan Tuanku menggunakan kuasa yang ada bagi menyemak semula pengurusan ekonomi negara supaya tidak berlaku lagi sebarang ketirisan atau kronisme.

“Isu-isu rasuah yang berkait rapat dengan ahli politik wajar disemak semula supaya tidak berlaku sebarang kekecohan dalam aspek legislatif dengan pemerkasaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” cadangnya lagi.

Sebelum ini, Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menolak rasional serta alasan yang diberikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa perisytiharan darurat dilaksanakan untuk menyelamatkan Malaysia daripada ancaman COVID-19.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah pada Selasa memperkenankan supaya Proklamasi Darurat dilaksanakan sehingga 1 Ogos depan atau sehingga suatu tarikh lebih awal sebagai langkah proaktif untuk membendung wabak COVID-19.

- Advertisement -