Antara COVID-19, perisytiharan darurat dan PRU15

- Advertisement -

JANGKITAN COVID-19 di Malaysia mencapai tahap terburuk. Purata bilangan kes positif harian melebihi kes sembuh. Hospital dan pusat-pusat kuarantin penuh sesak dan tidak dapat lagi menampung bilangan pesakit yang terlalu ramai. Ramai kakitangan hospital sendiri dijangkiti virus berkenaan. Peralatan perubatan seperti alat bantuan pernafasan dan ventilator tidak mencukupi. Pakar, pegawai perubatan dan anggota frontliners amat sibuk, cemas dan lesu kerana bekerja tanpa rehat dalam tempoh yang panjang.

Dalam keadaan gawat tersebut, sebahagian ahli politik dan penyokongnya mempersoalkan kewajaran kerajaan mengisytiharkan darurat dengan alasan; kes COVID-19 belum mencapai tahap kritikal, tidak demokratik, berniat untuk menghalang peralihan kuasa, menyekat berlaku pilihan raya, menyekat Parlimen dari bersidang dan pelbagai alasan lagi.

- Advertisement -

Orang awam dan golongan marhaen seperti penulis menelah; kelakuan, tindakan dan kegilaan sebahagian politikus sudah mencapai tahap amat teruk dan hilang rasional dan kewarasan. Sanggupkah mereka meneruskan perebutan kuasa, tarik menarik sokongan, lompat melompat parti, menukar-nukar kerajaan seperti menukar baju ketika rakyat sedang berdepan ancaman jangkitan COVID-19, bencana ekonomi yang amat teruk dan banjir yang melanda? Tidak bolehkah ditangguhkan pilihan raya sehingga graf COVID-19 menjadi landai mencapai tahap dua digit? Tidak bolehkah individu yang tamak dan gilakan kerusi Perdana Menteri menunggu seketika sehingga keadaan reda?

Alasan yang mengatakan Perdana Menteri (PM) yang ada tidak cukup majoriti dan perlu ditukarkan dengan Perdana Menteri baru, semata-mata pandangan yang tidak mempunyai asas melainkan andaian semata-mata. Buktinya telah beberapa kali alasan itu diulang tetapi, calon baru PM yang ditonjolkan pun belum dapat mereka muktamadkan dan mendapat sokongan yang jauh lebih besar.

Selain itu tidak dapat dibuktikan bahawa calon baru Perdana Menteri ke-9 dapat menyelesaikan masalah COVID-19 dan masalah kegawatan ekonomi, kerana parti calon baru PM itu sendiri berpecah-belah dan saling bertelagah sesama sendiri. Kerajaan yang ada ini meskipun lemah, tetapi wajib dipelihara dengan baik sehinggalah pasti (yakin) kerajaan baru yang akan dibentuk lebih baik dan lebih kukuh. Janganlah bertindak berdasarkan nafsu kemaruk kuasa semata-mata. Dibimbangi, ‘yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran’, ‘ayam terlepas, tangan berbau tahi’. Antara prinsip Fiqh Keutamaan ialah; 

  المصلحة المتيقنة مقدمة من المصلحة الموهومة

“Maslahat yang diyakini hendaklah didahulukan berbanding maslahat yang dijangka semata-mata”

Janganlah diruntuhkan dulu rumah yang ada, meskipun buruk selagi belum ada tapak baru yang sesuai, sebelum ada wang yang cukup dan pelan yang lengkap untuk membina semula. Takut rumah baru tergendala pembinaannya dan tiada lagi tempat bernaung. Amatlah meleset pandangan yang mengatakan kita runtuhkan dulu rumah buruk ini dan kita fikir kemudian untuk membinanya. Cukuplah pengajaran dari keruntuhan kerajaan lalu seperti Kerajaan Saddam Husin di Iraq. Dibimbangi ijtihad yang salah menyebabkan agama terancam dan rakyat menderita.

Pandangan yang mengatakan Parlimen perlu dibubarkan dan Pilihan Raya Umum perlu diadakan segera, dan pilihan raya bukan penyebab peningkatan COVID-19. Pandangan tersebut hanyalah keluar dari mulut dan fikiran orang yang sudah dijangkiti penyakit gila kuasa, kehilangan sabar dan rasional. Cukuplah pengajaran dari Pilihan Raya Negeri Sabah yang menjadi bukti bahawa; ahli politik dan penyokong tidak akan dapat membendung keghairahan untuk berkumpul, menemui kumpulan penyokong, bersalaman, berpelukan, melanggar SOP dan lain-lain. Bukankah situasi seperti ini bermakna sengaja mendedahkan diri kepada kebinasaan? Hayatilah firman Allah yang bermaksud:

“Dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu sendiri ke dalam kebinasaan.”

(al-Baqarah: 195) 

Ayat di atas menuntut agar umat Islam tidak melakukan sesuatu yang boleh merosakkan agama, nyawa, keturunan, akal dan harta benda. Setiap Muslim, apatah lagi penguasa dan pemimpin, mereka bertanggungjawab memelihara kelima-lima perkara tersebut. 

Umat Islam perlu sedar dan berpuas hati bahawa; PM sedia ada, adalah orang Melayu Islam dari kalangan mereka sendiri. Majoriti Menteri Kabinet yang juga orang Islam. Walaupun kerajaan ini tidak mempunyai majoriti yang besar, ‘perlu sangatkah ia dijatuhkan?’ Adakah jaminan bahawa di bawah kerajaan baru akan datang kedudukan Islam akan semakin kukuh dan dihormati? Kedudukan orang Melayu semakin baik? 

Jika semuanya belum pasti dan berdasarkan andaian dan cubaan semata-mata, adalah haram menjatuhkannya, bahkan wajib mengekalkannya sehingga tamat tempoh yang diizinkan Perlembagaan. Pertukaran hanya boleh dibuat dari yang buruk kepada yang baik. Dari yang baik kepada lebih baik atau sama baik. Hujah ini berdasarkan firman Allah S.W.T yang bermaksud:

“Kami tidak akan menasakhkan sesuatu ayat atau menjadikan (manusia) lupa melainkan Kami datangkan yang lebih baik darinya atau yang sebanding dengannya.” 

(al-Baqarah: 106)

Intipati hijrah ialah berhijrah kepada yang lebih baik. Kebarangkalian kerajaan baru selepas ini lebih teruk, lebih korup dan lebih zalim tetap ada. Dakwaan kerajaan akan datang lebih baik semata-mata andaian dan harapan sahaja. Sewaktu PRU ke-14 lalu kerajaan BN telah dijatuhkan kerana dianggap zalim dan korup. Namun ramai mendakwa bahawa Kerajaan PH yang mengambil alih itu lebih teruk dan mengabaikan maslahat Islam dan golongan bawahan sehingga ia dijatuhkan oleh ahli gabungannya sendirinya dalam tempoh 18 bulan sahaja.

Penulis mengajak pembaca melihat Perisytiharan Darurat ini dari sudut yang positif. Orang yang berfikiran positif sering mendapat hasil yang positif. Sebaliknya orang yang berfikiran negatif sering menerima kehidupan yang sempit dan sukar. Tujuan Perisytiharan Darurat ini untuk memberi fokus kepada mengatasi masalah jangkitan COVID-19 dan memulihkan kegawatan ekonomi dan penderitaan rakyat. Perisytiharan Darurat dapat menyekat gangguan dan kegilaan individu tertentu untuk merebut jawatan Perdana Menteri dan kerajaan. Gangguan tersebut jika dibiarkan akan menghilangkan fokus kerajaan dan meningkatkan ancaman COVID-19. Kesannya ekonomi akan semakin merudum, rakyat semakin sengsara dan nyawa semakin terancam. 

Perisytiharan Darurat ini amat pahit dan menyekat hak dan kebebasan ahli politik khususnya, seperti penangguhan Pembubaran Parlimen dan PRU15, namun ia selaras dengan prinsip Fiqh Keutamaan yang menyebut: 

“Apabila bertembung dua kemudaratan, hendaklah memilih kemudaratan yang ringan dan menolak kemudaratan yang berat.”

يجوز ارتكاب أخف الضرري

Ulil Amri, khususnya YDP Agong dan PM bertindak selaras dengan prinsip tersebut. Kita sebagai rakyat jelata hendaklah bersangka baik bahawa tindakan tersebut adalah atas dasar tanggungjawab Baginda menjaga maslahatrakyat seluruhnya bukan untuk kepentingan peribadi. 

تصرف الإمام منوط بالمصلحة

Akhirnya marilah kita sama-sama fokus menyelamatkan diri, keluarga dan umat ini. Syukurilah apa yang ada, dan janganlah diruntuhkan kerajaan yang ada sebelum pasti ada ganti yang lebih baik. Suburkanlah sifat sangka baik, kerana bersangka buruk itu sering berakhir dengan dosa dan penyesalan. Mohon penambahbaikan dari ulamak dan cendekiawan Islam. Salam hormat dari saya

S.F. DATO’ ASAD AWANG
Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak – HARAKAHDAILY 15/1/2021

Sumber asal: https://www.facebook.com/100003449003608/posts/2725865637538376/

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri. 

- Advertisement -