Situasi banjir di Kelantan makin pulih

KOTA BHARU: Keadaan banjir di Kelantan semakin pulih apabila kini hanya 888 mangsa yang masih berada di 10 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di negeri itu.

Advertisement

Sehingga jam 2.05 petang ini banjir masih melanda jajahan Kuala Krai dan Pasir Mas. Sebelum ini sebanyak 75 PPS dibuka di enam jajahan ketika banjir gelombang ketiga itu kemuncak.

Lebih 6,000 mangsa banjir ditempatkan di 75 PPS seluruh jajahan.

Bagaimanapun sekarang keadaan banjir di Kelantan semakin baik.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Makanan, Dato’ Che Abdullah Mat Nawi melahirkan rasa syukur di atas perkembangan itu.

“Alhamdulillah kita berharap banjir semakin reda dan tiada lagi banjir pada gelombang seterusnya.

“Bagaimanapun kita berharap penduduk sentiasa berwaspada khususnya mereka yang tinggal di kawasan mudah ditenggelami air,” katanya yang juga Ahli Parlimen Tumpat.

Sebelum itu, beliau bersama petugas Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Tumpat dan Pusat Khidmat Dun Kelaboran mengadakan misi bantuan banjir di Kampung Mak Neralang, semalam.

Turut menyertai misi tersebut Adun Kelaboran Mohd Adanan Hassan, sukarelawan Khidmat Malaysia Tumpat, Jabatan Amal Tumpat dan anak-anak muda Dun Kelaboran. – HARAKAHDAILY 11/1/2021