Henti politiking, fokus kebajikan rakyat – UMMAH

KUALA LUMPUR: Berhenti bermain politik, sebaliknya tumpukan perhatian kepada nasib rakyat dan masa depan negara, kata Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustafa.

Advertisement

Jelasnya, ahli-ahli politik perlu menjunjung titah Al-Sultan Abdullah agar menghentikan segala politiking dan fokus kepada kebajikan rakyat.

“Sepatutnya sekarang ini ahli-ahli politik tidak perlu banyak bercakap soal politik, kalau setiap hari bercakap soal politik, bagaimana dengan nasib rakyat?

“Pelbagai masalah yang dihadapi rakyat tidak dapat diselesaikan, dengan ekonomi yang menekan, banyak yang meniaga tutup kedai, banyak yang dibuang kerja.

“Perlukan duit untuk persekolahan anak-anak lagi, dengan sekarang ini musim banjir lagi, malah dengan peningkatan positif Covid-19, tak cukup membuka mata mereka lagikah?

“Kalau mereka Ahli Parlimen, fokus kepada kebajikan rakyat di kawasan masing-masing dan menangilah hati rakyat dengan berkhidmat sebaik-baiknya,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada HarakahDaily setelah menyerahkan memorandum bersurat kepada pihak istana di Pintu-3 Istana Negara, hari ini.

Jelasnya lagi, memorandum yang disokong 500 wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu telah diperkenan oleh pihak Istana Negara dan akan menjadi memorandum terbuka untuk rakyat menyokongnya.

Sementara itu, beliau menjawab pertanyaan mengenai kewajaran ahli-ahli politik yang bermain politik ketika negara sedang getir menghadapi pandemik Covid-19 dan banjir besar katanya, Kerajaan perlu memfokuskan kepada tiga perkara utama.

“Kerajaan yang ada pada hari ini mesti distabilkan pentadbiran dan pemerintahannya, selain daripada membantu rakyat yang terjejas akibat banjir di beberapa buah negeri.

“Kerajaan juga perlu menangani wabak Covid-19 dengan kaedah yang memberikan keselamatan dan kesejahteraan kepada rakyat,” tambahnya.

Dalam pada itu, antara intipati memorandum termasuklah cadangan penubuhan ‘kerajaan sementara’ selama setahun bagi mengelakkan campur tangan mainan ahli-ahli politik.

Terdahulu, Ketua Pembangkang Dato’ Seri Anwar Ibrahim mendakwa dirinya memperolehi sokongan majoriti konklusif bagi menubuhkan kerajaan baharu menerusi sidang media yang diadakannya pada 12 Oktober 2020.

Walau bagaimanapun, setelah diperkenan bagi menghadap Baginda Yang Di-Pertuan Agong, beliau gagal mengemukakan senarai nama Ahli Parlimen yang didakwa menyokongnya.

Dalam pada itu, terdapat pelbagai dakwaan menyatakan wujudnya konspirasi antara beberapa Ahli Parlimen bagi menggulingkan kerajaan sedia ada dengan pelbagai cubaan untuk mengganggu gugat kestabilan dan ketenteraman negara.

Sehubungan dengan itu, pihak Istana Negara telah mengeluarkan kenyataan rasmi yang mengandungi nasihat YDPA agar Ahli-ahli Parlimen tidak perlu meneruskan tindakan tidak bertanggungjawab yang boleh mengganggu gugat kestabilan kerajaan sedia ada.

Baginda juga menitahkan agar ahli-ahli politik untuk memberhentikan segera segala politiking yang boleh mengganggu kestabilah pemerintahan negara.

Walau bagaimanapun, terdapat ahli politik yang tetap berdegil dengan menimbulkan polemik politik sehingga menjejaskan kestabilan politik negara.

Rentetan itu, baru-baru ini polemik politik yang melanda negara memuncak apabila bekas Setiausaha Agong Umno, Tan Sri Annuar Musa mendedahkan wujudnya kerjasama antara Umno dan Pakatan Harapan (PH) bagi menggulingkan kerajaan.